Sudahlah hilang pendapatan, rumah pula terbakar

Sudahlah hilang pendapatan, rumah pula terbakar

Seorang pemuzik jalanan yang baru kehilangan sumber pendapatan diduga sekali lagi apabila kediaman yang diduduki kurang sebulan musnah dalam kebakaran.

Riswanto Razali, 38, berkata, dia berpindah ke apartmen di Taman Desa Country Homes, Rawang itu selepas sumber pendapatannya sebagai pemain muzik terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

Malah ada perabot yang masih berbalut dan tidak sempat dibuka memandangkan dia baru berpindah ke situ, bulan lepas, menurut laporan Kosmo.

“Saya masih dirundung sedih selepas sumber pendapatan terjejas, kini saya dan keluarga diuji pula dengan kebakaran rumah sewa yang baru diduduki bulan lepas.

“Barang-barang seperti perabot masih berbalut dan belum sempat dibuka, sedihnya tiada satu pun barangan yang sempat kami selamatkan,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berlaku sekitar pukul 12 tengah hari ketika dia bersama isteri dan anak berumur tujuh tahun sedang tidur di dalam bilik.

“Saya tersedar daripada tidur sebaik menyedari tilam di ruang tamu terbakar. Saya cuba memadamkannya namun gagal lalu segera mencari anak buah yang berumur empat tahun yang tidak kelihatan.

“Rupa-rupanya dia berada dalam tandas lalu saya membawanya masuk ke dalam bilik kerana kami gagal keluar akibat asap tebal. Beberapa minit kemudian, ada jiran datang membantu kami keluar dari rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 12.35 tengah hari.

“Kebakaran berlaku melibatkan dua unit kediaman di tingkat empat yang dihuni tujuh individu terdiri daripada tiga dewasa dan empat kanak-kanak yang berumur empat hingga 40-an.

“Bagaimanapun semua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber | FMT