Suami pukul isteri bawa padah, kini didenda RM1,000

Suami pukul isteri bawa padah, kini didenda RM1,000

Tindakan seorang suami memukul belakang, kepala dan tangan isterinya selepas melihat perbualan wanita itu dengan lelaki lain di WhatsApp, membawa padah apabila dia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret M Barath menjatuhkan hukuman itu terhadap penjual ikan, V Loganathan, 44, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Loganathan didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap G Anita Davi, 36, di rumah mereka di Damansara Damai, di sini, jam 2 petang, pada 18 Januari lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia adalah penanggung utama keluarga.

“Saya ada tiga anak dan kesemuanya masih bersekolah serta isteri tidak bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farrahin Shapri membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tidak mencederakan isterinya lagi. – BH