Suami isteri ingin kaya dalam masa singkat antara 3 ditahan bersama dadah RM9.3 juta

Suami isteri ingin kaya dalam masa singkat antara 3 ditahan bersama dadah RM9.3 juta

Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dengan penahanan tiga individu termasuk suami isteri serta merampas dadah bernilai RM9.3 juta, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Cheras dan menahan dua lelaki serta seorang wanita berusia 21 hingga 31 tahun bersama dadah pada 2.15 petang.

Katanya, polis kemudian menyerbu tiga lagi lokasi di Cheras dan Kajang pada Sabtu serta Ahad lalu dan merampas pelbagai jenis dadah.

Polis turut menemui bahan asas heroin seberat 100kg, ketamin 9.8kg dan 59,000 pil Erimin 5 seberat 16kg.

“Hasil siasatan didapati semua premis mereka dijadikan tempat penyimpanan dadah dan disewa selama tiga bulan oleh seorang daripada suspek dengan bayaran sewa RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

“Selain itu ujian saringan mendapati semua suspek negatif dadah. Bagaimanapun kesemua mereka didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 169,535 pengguna.

Polis turut merampas lima kenderaan, iaitu tiga Toyota Vellfire, sebuah Honda City dan Proton Iswara serta wang tunai RM400.

Semua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 6 Jun hingga 11 Jun untuk siasatan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. | FMT

COMMENTS