SPRM tak siasat kes ‘katak politik’ bukti agensi kerajaan jadi senjata politik

SPRM tak siasat kes ‘katak politik’ bukti agensi kerajaan jadi senjata politik

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan kenapa agensi anti-rasuah itu belum menyiasat lima Ahli Parlimen yang melompat parti baru-baru ini, sama ada disebabkan dorongan atau ugutan.

“Kegagalan SPRM bertindak hanya mengesahkan pernyataan yang dibuat Pakatan Harapan bahawa agensi kerajaan, termasuk SPRM, telah ditukar menjadi senjata politik terhadap pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Lim menamakan lima Ahli Parlimen itu yang terdiri daripada Awang Husaini Sahari (Putatan), M Karupaiya (Padang Serai), S Kesavan (Sungai Siput), Michael Teo Yu Leong (Miri) dan Natrah Ismail (Sekijang).

Jumaat lalu, bekas ketua polis negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, SPRM perlu menyiasat ahli politik yang melompat parti dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada polis semata-mata kerana beliau melihat rasuah berlaku “di mana-mana” dalam politik.

“(Pemimpin) mabuk kuasa dan sedia membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli). Itu adalah rasuah,” kata Hamid dalam sidang media minggu lalu.

Lim mendakwa pendedahan Hamid mengesahkan rasuah digunakan untuk “mendorong dan mengancam” wakil rakyat pembangkang bagi mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, yang meninggalkan PKR untuk menyokong kerajaan PN mengakui beliau dijanjikan kedudukan rasmi.

“Sekiranya SPRM gagal bertindak, walaupun aduan rasuah dari (bekas) KPN sendiri, masihkah ada harapan bagi orang awam bahawa SPRM akan bertindak ke atas aduan mereka terhadap rasuah politik di peringkat tertinggi?” soalnya.

Beliau berkata, kegagalan SPRM menjalankan tugas secara profesional dan bertanggungjawab hanya akan menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International terus merosot.

Malaysia turun enam anak tangga, daripada tangga 51 pada 2019 ke 57 tahun lalu dalam CPI. | FMT

COMMENTS