SPRM serbu Invoke untuk kali kedua hari ini, kata Rafizi

SPRM serbu Invoke untuk kali kedua hari ini, kata Rafizi

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menyerbu syarikat datanya, Invoke Solutions Sdn Bhd, hari ini.

Serbuan itu dilakukan kurang sehari selepas agensi itu melakukan tindakan sama, malam tadi, kata Rafizi.

“Ketika kita sedang bercakap ini, SPRM menyerbu Invoke untuk kali kedua,” katanya dalam sidang media.

Rafizi juga berkata, Jabatan Kastam juga ada menghantar notis memaklumkan akan berkunjung kepada pejabat Invoke dalam tempoh terdekat sebagai sebahagian siasatannya membabitkan syarikat itu.

Pada sidang media itu, Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pandan, mendakwa motif siasatan untuk “mencari kesalahan” terhadapnya sebelum hari pengundian dengan matlamat mengurangkan sokongan pengundi kepada gabungan itu.

Rafizi berkata, buku lejar Invoke dirampas SPRM, sambil secara sinis berkata, ia adalah masa sesuai agensi itu “belajar menubuhkan syarikat pemula dan menilai syarikat”.

Pada ceramah malam tadi, Rafizi mendedahkan Invoke diserbu SPRM susulan laporan terhadapnya berhubung pengisytiharan aset miliknya.

Beliau berkata, kakitangannya disoal siasat selama tujuh jam. Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap sen dalam syarikat itu milik pelabur dan dirinya sendiri.

Minggu lalu, dilaporkan SPRM menyiasat pengisytiharan aset Rafizi selepas menerima laporan mendesak agensi itu secara terperinci menyiasat Invoke.

Rafizi mengisytiharkan nilai aset bersih sebanyak RM18,851,350, pada 31 Okt.

SPRM serbu Invoke untuk kali kedua hari ini, kata Rafizi