Sorok pistol, dadah RM19,250 dalam semak. tiga ditahan

Sorok pistol, dadah RM19,250 dalam semak. tiga ditahan

Polis merampas sepucuk pistol selepas menahan tiga individu termasuk pasangan kekasih yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar pil kuda dan ganja RM19,250 berhampiran kawasan sebuah rumah di Kampung Kedemit, Palekbang dekat Tumpat minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek berusia 27 dan 39 tahun itu dicekup dalam serbuan Ops Tapis Khas yang dilakukan pada pukul 11 malam pada Rabu lalu.

Menurut beliau, semasa serbuan polis menjumpai pistol jenis S&W .357 magnum di dalam bekas plastik di atas tanah bersama bekas berisi 29 butir peluru yang disembunyikan di dalam kawasan semak berhampiran rumah tersebut.

“Siasatan di kawasan itu membawa kepada penemuan 800 biji pil kuda dan ganja seberat 225 gram yang semuanya dianggarkan bernilai RM19,250 yang disimpan dalam satu bekas tin di atas tanah.

“Ketiga-tiga suspek positif methaphetamine. Selain itu, setiap suspek masing-masing mempunyai rekod kesalahan lampau antara tiga hingga 11 kes,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata, selain itu polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Jazz, motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan seutas jam tangan bernilai RM4,000.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960.