SOP akan diketatkan jika kes Covid-19 meningkat – Khairy

SOP akan diketatkan jika kes Covid-19 meningkat – Khairy

Kerajaan akan pertimbang untuk mengetatkan kembali prosedur operasi standard (SOP) sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan bagaimanapun berharap rakyat terus patuh pada pematuhan SOP yang diguna pakai sejak menghadapi pandemik berkenaan.

Cukup setakat beri peringatan kepada orang ramai untuk terus patuh dengan SOP yang masih ada, pakai pelitup muka di kawasan tertutup.

“Namun, sekiranya kes meningkat, perlu kerajaan buat keputusan pertimbang nak ketatkan atau tidak. Tetapi, saya harap pematuhan secara sukarela dapat dimantapkan tanpa ada paksaan atau penguat kuasa melalui undang-undang yang dipakai sejak dua tahun lepas,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Sabri Azit (Pas-Jerai), adakah kerajaan bercadang mengetatkan kembali SOP berikutan kes Covid-19 yang kini semakin meningkat.

Semalam, Kementerian Kesihatan mendedahkan, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima Covid-19 ke hospital awam meningkat sebanyak 33 peratus bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-28 tahun 2022 (ME 28/2022).