Slogan keamanan perlu terus dipupuk di kalangan masyarakat – Adun Senggarang

Slogan keamanan perlu terus dipupuk di kalangan masyarakat – Adun Senggarang

BATU PAHAT, 19 OKT: Slogan keamanan harus dipupuk dan dididik kepada masyarakat melalui program-program bertemakan prinsip itu, kata Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim.

Khairuddin ketika program dianjurkan Lions Club Batu Pahat bersama Jawatankuasa Perhubungan Penduduk (BPT) semalam berkata, perlunya kesatuan yang utuh dalam keadaan negara dan dunia menghadapi pandemik Covid-19.

“Siapa yang tidak mahu keamanan ini terus menyala, namun dalam keadaan kita tidak sedar ada segelintir golongan yang cuba meniupkan api ekstremis sehingga menimbul kekacauan di kalangan masyarakat.

“Program-program pendidikan terhadap keamanan ini harus terus dipupuk kepada masyarakat agar ia tidak terus disisihkan serta pengenalan akan peri pentingnya keamanan ini dikekalkan adalah perlu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Lions Club Batu Pahat dan Jawatankuasa Perhubungan Penduduk (BPT) kerana berjaya menganjurkan program membina poster keamanan yang disertai oleh pelajar-pelajar sekolah di sekitar Batu Pahat,” jelasnya ketika dihubungi.

Beliau yang merupakan ahli jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, perpecahan yang dicanangkan sesetengah pihak bagi meraih pengaruh adalah suatu perkara yang berlawanan dengan keamanan.

“Kita lihat terdapat suara-suara yang membisikkan soal perkauman, perpecahan dan sifat yang membelakangkan keamanan hari ini menyala kuat.

“Kita khuatir bahawa perkara ini akan merosakkan masyarakat yang selama ini tinggal di negara ini secara harmoni dan aman.

“Sifat ini perlu disingkirkan agar ia tidak diperbesarkan lagi oleh pihak yang berkepentingan.

“Saya menyeru agar kerajaan menyediakan garis panduan mengenai fitnah atau sebaran membabitkan kekacauan dan perpecahan seperti perkauman dan sebagainya di negara ini diperketatkan demi membendung anasir ekstremis daripada berlaku,” jelasnya lagi.

Sumber : https://www.johorkini.my/slogan-keamanan-perlu-terus-dipupuk-di-kalangan-masyarakat-adun-senggarang/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook