Skandal dalam KLFA, laporan SPRM berniat jahat

Skandal dalam KLFA, laporan SPRM berniat jahat

Skandal dalam KLFA, laporan SPRM berniat jahat.  Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad mendakwa laporan pecah amanah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan organisasi diketuainya sebagai berniat jahat.

Bekas menteri wilayah persekutuan itu menegaskan, tiada skandal dalam pengurusan persatuan berkenaan, namun pihaknya tetap memberi kerjasama baik kepada pegawai SPRM yang bertandang ke pejabat KLFA untuk melakukan siasatan.

“Saya tidak menolak laporan dibuat kepada SPRM dan juga media ini berniat jahat untuk memburukkan KLFA dan KL City FC kerana kita sedang mencapai kejayaan yang tidak pernah diperolehinya sejak 32 tahun lalu.

“Skandal yang ada hanyalah bagaimana dengan hanya RM5 juta yang kita dapat, kita berjaya menampung ‘overhead’ sebanyak RM12 juta. Itulah skandal yang terbesar sebenarnya,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, media melaporkan SPRM dipercayai akan memanggil beberapa saksi susulan serbuan dan siasatan ke atas pejabat KLFA dan KL City berhubung kes pecah amanah serta salah guna kuasa melibatkan KLFA.

Sumber berkata, serbuan dan siasatan dilakukan selepas SPRM menerima laporan mengenai kes itu yang melibatkan wang tajaan KL City dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati.

“Ketika ini, dokumen yang diperoleh dari pejabat KLFA minggu lalu sudah dihantar ke bahagian forensik untuk dianalisa dan SPRM akan meneliti proses penggunaan dana tajaan ini sama ada mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Tajaan paling besar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diikuti oleh beberapa syarikat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, siasatan masih di peringkat awal dan SPRM dipercayai akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Skandal dalam KLFA, laporan SPRM berniat jahat