Sistem pendidikan ‘cacamerba’, buat guru semakin keliru

Sistem pendidikan ‘cacamerba’, buat guru semakin keliru

Sistem pendidikan ‘cacamerba’, buat guru semakin keliru.

Perubahan besar terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran termasuk memansuhkan peperiksaan awam menyebabkan sistem pendidikan negara dilihat mengelirukan dan tidak konsisten sehingga menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 (PAK21).

Perubahan ini dibimbangi menghakis proses PAK21 yang berpusatkan murid berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti dan aplikasi nilai murni serta etika.

Meskipun kaedah pembelajaran Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan baru-baru ini diperakui membantu pelajar mengembangkan kemahiran diri mereka, namun, sistem pendidikan negara yang tidak konsisten ini membuatkan guru dilihat tidak dapat mengadaptasikan satu-satu sistem itu dengan baik, pantas dan menyeluruh.

Bekas ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN), Dr. Mohammad Tazli Azizan berkata, pihaknya dapat melihat guru agak bergelut dengan pentaksiran alternatif terutamanya Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Bagaimanapun, katanya, agak keterlaluan untuk menyifatkan golongan guru masih belum bersedia dengan PAK21, namun, lebih banyak ruang perlu dimanfaatkan oleh guru untuk memperkasakan diri mereka sebagai pendidik abad ke-21.

“Kita tahu bahawa kemahiran abad ke-21 sangat penting untuk generasi masa hadapan. Jika tidak diperkayakan dalam diri mereka, ia tak mampu membantu menjadikan pelajar-pelajar ini seseorang yang memenuhi kualiti future workforce.

“Oleh itu, mengurangkan peperiksaan bertulis dan lebih membanyakkan pentaksiran alternatif dan dinilai dari segi pemerhatian, lisan dan pengalaman pembelajaran sangat penting.

“(Namun), isunya sekarang adalah sejauh mana para guru dilatih untuk melakukan pentaksiran alternatif selain daripada peperiksaan bertulis semata-mata dan benar-benar menjiwai PBD,” katanya.

Selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dua tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pula pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dengan penilaian murid dibuat menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

PBS dimulakan tahun ini dengan pelajar dan murid dinilai menerusi PBD, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) selain Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Menerusi pendekatan baharu itu, PBD ditambah baik menerusi pentaksiran sumatif di mana pelajar sekolah menengah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3 serta murid-murid sekolah rendah Tahun 4, 5 dan 6 menduduki ujian akhir pada sesi akademik.

Mengulas lanjut, Muhammad Tazli berkata, pihaknya juga khuatir sekiranya pentaksiran alternatif terutamanya PBD akhirnya hanya menjadi alat kosmetik apabila tumpuan terlalu banyak diberikan untuk aspek peperiksaan sumatif akhir tahun.

Katanya, perkara itu hanya seperti membuat pusingan U ke arah menjadikan pelajar dan murid di negara ini sebagai test taker seperti sebelum ini.

“Saya agak khuatir dengan modul sumatif yang dikeluarkan KPM ni sebab ada kemungkinan guru-guru yang tak terlatih akan buat jalan pintas.

“Maksudnya, mereka skip PBD, mereka tumpu pada peperiksaan hujung tahun. Jadi pelaporan pada PBD tidak seperti apa yang dilaporkan. Itu kerisauan saya.

“Cukup-cukuplah membudayakan guru melatih pelajar untuk ‘spot soalan exam’ atau sesi latih tubi untuk menjawab modul ujian daripada Kementerian Pendidikan akhir tahun nanti,” ujarnya.

Justeru, katanya, ia juga akan memberi kesan apabila pelajar hanya tahu menjawab peperiksaan sekiranya sering kali diterapkan dengan pendekatan menyelesaikan latihan dan bukannya pendekatan menyelesaikan masalah.

“Mereka akan peroleh kemahiran jawab soalan pada apa yang mereka tahu, tetapi apabila mendepani masalah-masalah di luar apa yang mereka pelajari, mereka tidak ada kemahiran untuk selesaikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, sistem pendidikan mana-mana negara perlu stabil dan konsisten tanpa mengikut selera dan cita rasa individu yang menerajui bahagian pendidikan negara.

Katanya, langkah itu bagi memudahkan untuk semua pihak terutamanya guru merancang dan mengurus pendidikan anak-anak tanpa sebarang kekeliruan.

“Sistem pendidikan perlu stabil supaya ibu bapa, keluarga tak keliru. Kejap ini kejap itu jadi caca marba. Jangan terkejut nanti bila datang menteri lain, lain pula keputusannya.

“Sistem pendidikan juga perlu stabil sebab pendidikan adalah pelaburan paling strategik buat mana-mana negara, jadi tak boleh dipandang rendah kesan apa yang kita buat itu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Raduan berkata, sebarang keputusan perlu dibuat dengan mengkaji terlebih dahulu apa-apa kesan jangka pendek dan panjang sama ada baik mahupun buruk.

Jelasnya, implikasi yang berkemungkinan timbul perlu dilihat kepada keseluruhan rantaian sistem pendidikan bermula daripada tadika sehingga ke universiti.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Rezki Perdani Sawai berkata, tiada masalah untuk membuat perubahan kurikulum mahupun sistem pendidikan bagi membolehkannya selari dengan peredaran zaman teknologi.

Bagaimanapun, katanya, penggubal dasar perlu memastikan kurikulum itu adalah selari dengan perkembangan psikologi kanak-kanak dan remaja.

Justeru, katanya, kurikulum yang digubal perlu diperhalusi oleh pakar psikologi pendidikan sebelum diluluskan dan diaplikasikan kepada pelajar.

“Maksudnya jika kanak kanak lembam perlu kurikulum yang sewajarnya sesuai dengan pemahaman mereka. Begitu juga kanak-kanak yang genius..ikut tahap kecerdasan.

“Jadi kurikulum perlu diuji terlebih dahulu dengan melaksanakan kajian rintis sebelum dilaksanakan. Ini tidak kurikulum dibuat mengikut cerdik pandai yang tinggi tahap kecerdasannya.

“Apabila tak sesuai dengan pelajar, ia mengakibatkan murid dan pelajar berasa tertekan yang juga boleh mengakibatkan kemurungan,” ujarnya.