Si Lembut yang kurang ajar. Ludah, pukul emak, jadi pemuas nafsu lelaki…

Si Lembut yang kurang ajar. Ludah, pukul emak, jadi pemuas nafsu lelaki…

Heboh-heboh masyarakat bercerita tentang Sajad dan golongan yang seperti dirinya, mengingatkan Mastika kepada Thaqif. Tidak, Thaqif tidaklah bertelekung semasa membuat umrah, berpakaian separuh bogel atau memberitahu dirinya ingin murtad, tetapi cerita Thaqif juga akan membuatkan anda marah.

Thaqif lelaki. Ketika Mastika temuinya pada pertengahan 2006, usia Thaqif baru 19 tahun dan hari itu Thaqif mahu menceritakan satu kisah menarik mengenai seorang anak derhaka. Kejamnya si anak ini hingga sanggup memukul emaknya menyebabkan tempurung kepala si emak tadi retak.

Anak derhaka ini juga pernah mencederakan mata emaknya sampai si emak dimasukkan ICU. Thaqif juga ingin menceritakan bagaimana si anak derhaka tadi menyebat belakang emaknya dengan getah paip hingga luka dan lebam.

Anak derhaka ini turut meludah, melemparkan kata-kata kesat, menendang serta menolak emaknya ketika si emak sedang beribadat.

“Budak itu memang kejam,” kata Thaqif.

Siapa budak lelaki itu? Thaqif kenal dia? Kawan Thaqif? Adik-beradik?

Thaqif tidak mahu menjawab. Dia memberitahu budak lelaki yang dimaksudkan itu asalnya anak angkat. Dia dijaga oleh pasangan guru dan pegawai pendidikan di Kuala Terengganu.

Satu perkara yang menarik, budak ini berperwatakan lembut sejak kecil lagi. Ketika itu dia sedikit pun tidak mahu berenggang dengan emaknya. Apabila si emak tidak membelikannya gula-gula atau permainan, dia mula merengek. Tetapi emak dan ayah tetap melayannya seperti raja kerana dialah satu-satunya anak mereka, walaupun cuma anak angkat.

“Suatu hari semasa usianya belasan tahun, budak ini mendapat tau dia cuma anak angkat. Dia terlalu sedih. Budak ini tidak dapat terima hakikat.

“Budak ini merasakan dirinya anak terbuang. Ibu bapa kandung tidak menyayanginya, lalu dia diberikan kepada orang lain, iaitu ibu bapa angkatnya. Budak itu juga berasa marah kerana ibu bapa angkatnya merahsiakan perkara itu sampailah dia berusia belasan tahun.

“Semenjak itu, budak lelaki tadi benci kepada emak dan ayah angkatnya. Dia juga marah kepada ibu bapa kandungnya. Dia benci dengan hidupnya,” beritahu Thaqif.

Akibat tekanan perasaan, budak itu akan meluahkan kemarahannya dengan cara yang ganas. Emak dan ayah angkatnya dimaki-hamun.

Hairan, bagaimana lelaki lembut tiba-tiba berubah menjadi ganas?

“Macam saya cakap tadi, budak itu tidak dapat terima hakikat yang dia adalah anak angkat. Jadi, dia berdendam. Setiap kali tak puas hati, emaklah mangsanya,” sambung Thaqif.

Emak disepak terajang. Kemudian anak derhaka itu meludah, menumbuk dan memukul emaknya. Tapi emaknya tetap menahan diri. Kadang-kadang emaknya menjerit-jerit menangis minta anak angkatnya berhenti memukul, tapi budak kurang ajar itu tidak pedulikan. Selagi hatinya belum puas, jangan harap tangan dan kakinya berhenti daripada menampar dan menendang si ibu.

Akibat perangainya juga, pada tahun 1999 budak derhaka itu dimasukkan ke sebuah sekolah pemulihan akhlak. Tetapi malangnya, budak kurang ajar itu berkawan pula dengan pelajar-pelajar pondan. Dia bersolek dan bergaya seperti perempuan. Anak derhaka ini digilai pelajar-pelajar lelaki. Dia memasuki dunia homoseks pula.

Waktu cuti sekolah budak kurang ajar itu balik ke rumah. Gayanya seperti perempuan, tapi kejamnya tetap seperti dahulu juga. Suatu hari emaknya jumpa rambut palsu, pakaian dalam wanita serta alat-alat soleknya di dalam beg.

Emaknya bertanya dari mana dapat benda-benda itu semua? Budak derhaka tadi jawab dengan penampar. Setelah itu dia menumbuk muka emaknya bertalu-talu. Bibir emaknya berdarah. Pipinya lebam. Rambutnya ditarik, kemudian diludah-ludah.

Apabila emaknya mengerang kesakitan, budak kurang ajar itu membantai belakang emaknya dengan getah paip..

Memang gila budak itu. Ayahnya ke mana? Takkan duduk diam saja?

“Ayahnya tak berani buat apa-apa. Takut budak kurang ajar tu belasah dia pula,” beritahu Thaqif.

Sambung Thaqif, dari sekolah pemulihan di utara, si anak derhaka yang bersifat pondan ini dipindahkan pula ke sebuah sekolah di pantai timur. Tindakan ibu bapa angkatnya itu menyebabkan dia bertambah marah. Dia rasa terbuang.

Peraturan ketat di sekolah itu pula membuatkan dia rasa terkongkong. Itu tidak boleh, ini tidak boleh.

Setiap kali cuti sekolah anak derhaka itu akan pulang ke rumah keluarganya. Suatu hari semasa pulang bercuti, budak derhaka itu mencuri masuk ke bilik emak dan ayahnya waktu mereka keluar ke rumah saudara. Dia membawa sebuah beg plastik besar dan membuka laci almari solek emaknya.

Semua barang kemas dimasukkan ke dalam beg yang dibawanya. Cincin, gelang, subang, rantai, semua dicuri. Tiada yang tinggal.

Malam itu juga, dalam bulan Februari 2006, si anak derhaka tadi bertolak dari Kuala Terengganu menaiki sebuah bas ekspres. Dia sebenarnya sudah lama merancang untuk melarikan diri dari rumah dan menjalani hidup sendirian, buat apa yang disukainya.

Budak itu tidak risau kerana dia ada kawan-kawan yang sealiran. Mereka sudah menunggunya di Puduraya. Di Kuala Lumpur mudah mencari duit sebab di sana ramai lelaki songsang yang mencari mereka siang dan malam. Dia hanya perlu pandai melayan.

Budak derhaka yang bersifat pondan itu tinggal menyewa di rumah kawannya di Ampang. Barang kemas yang dicuri dari bilik emaknya, dijual. RM30,000 berada dalam poketnya. Duit itu digunakannya untuk berjoli, membeli mekap, rambut palsu, pakaian wanita serta pil hormon. Anak derhaka itu juga berhibur dengan kawan-kawan pondannya di kelab-kelab dangdut dan karaoke. Mereka bersembang sambil meneguk minuman keras dan mengambil pil kuda, dadah serta syabu.

Budak derhaka itu bertambah hanyut. Dia makin rancak menjaja tubuh hingga kadang-kadang boleh mendapat RM100 semalam. Apabila wang sebanyak RM30,000 makin susut, budak kurang ajar itu merewang ke celah-celah lorong gelap memburu pelanggan yang dahaga.

Suatu hari seorang pelanggan telah menipunya. Budak pondan yang kurang ajar ini tidak bayar sesen pun lepas menyerahkan tubuhnya. Bukan itu saja, pelanggan tersebut turut mentertawa dan menghina dirinya.

Lebih parah, budak kurang ajar itu ditinggalkan termangu-mangu di sebuah pusat membeli-belah di Wangsa Maju.

“Ketika itu pukul 3.00 pagi. Gelap. Bas dah tak ada. Hendak naik teksi, duit pulak tak ada. Budak pondan itu berjalan sendirian macam orang gila, tidak tahu ke mana hendak dituju. Rumah sewanya di Ampang, tapi budak kurang ajar itu tidak tahu jalan mana hendak diikut,” sambung Thaqif. | UTv