Setelah siakap, kini 2 ekor sotong goreng pula bernilai RM100

Setelah siakap, kini 2 ekor sotong goreng pula bernilai RM100

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan notis kepada sebuah restoran nasi kandar di Lebuh Campbell, George Town kerana menjual dua ekor sotong goreng pada harga RM100.

Notis itu dikeluarkan penguat kuasa agensi berkenaan yang memeriksa premis terbabit mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011 akibat harga jualan tidak munasabah, selepas resit hidangan itu tular.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemilik restoran perlu menjawab notis itu dalam dua hari bagi mengelakkan tindakan lanjut.

Katanya, ia dikeluarkan kepada pengusaha restoran bagi mendapatkan maklumat, harga kos dan jualan sotong goreng berkenaan.

“Menerusi pemeriksaan itu, kita sudah mengambil rakaman percakapan peniaga mengenai isu tular berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

“Sekiranya maklum balas yang diminta gagal dikemukakan, pengusaha restoran boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Berita Harian.

Ridzuan berkata, kegagalan mematuhi arahan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 21(5) dan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 AKHAP 2011.

Sementara itu, pengarah restoran terbabit, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, ketika ditemui berkata, dia maklum mengenai notis itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, pasangan pelanggan yang dipercayai orang tempatan itu mengunjungi restorannya pada waktu tengah hari dan meminta hidangan sotong goreng bersaiz besar.

Ketika di kaunter pembayaran, katanya, pelanggan terbabit sudah maklum mengenai harga kedua-dua hidangan itu dan mereka hanya diam serta tidak membantahnya.

“Sehingga malam tadi, saya menyedari foto resit yang dibayar pelanggan itu tular di media sosial, namun hari ini orang ramai masih berkunjung seperti biasa tanpa sebarang isu.

“Tindakan itu tidak tepat kerana mereka mempunyai pilihan, sama ada menukarnya dengan lauk lain atau boleh batalkan pembelian,” katanya.

Sumber | FMT

COMMENTS