Sesi sekolah dianjak 3 Oktober

Sesi sekolah dianjak 3 Oktober

Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan pembukaan sekolah dianjakkan ke 3 Oktober INI berbanding perancangan asal pada 1 September ini selepas mengambil kira keadaan pandemik semasa.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pembukaan itu dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekolah-sekolah di bawah negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak akan dibuka berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perincian mengikut fasa PPN akan dimaklumkan oleh KPM dalam masa terdekat. Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan ibu bapa tentang pembukaan sekolah.

“Percayalah setiap keputusan diambil demi keselamatan anak-anak yang sentiasa menjadi keutamaan. Namun begitu, kita sedar kita mahu anak-anak kembali ke sekolah bersama guru-guru dan dapat bermain dengan kawan-kawan mereka,” katanya dalam rakaman video menerusi Facebook beliau malam ini.

Mohd. Radzi menjelaskan, negeri-negeri fasa 2 boleh buka sesi persekolahan, cuma bagi kelas peperiksaan sahaja iaitu Tingkatan 5 dan 6 sahaja manakala negeri Fasa 3 melibatkan semua murid-murid lain.

Bagaimanapun, katanya, segala keputusan pembukaan sekolah kelak masih tertakluk kepada penilaian risiko dalam setiap negeri tersebut.

Beliau berkata, pengurusan Covid-19 adalah sentiasa berubah, justeru pihak KPM perlu melihat data satu persatu.

Pada masa sama, beliau memohon semua pihak memberikan kepercayaan kepada KPM untuk memastikan segala perancangan dapat berjalan dengan baik, lancar dan selamat. – UTUSAN ONLINE