Sembilan menteri Umno bersama Muhyiddin?

Sembilan menteri Umno bersama Muhyiddin?

WALAUPUN perhimpunan agung Umno (PAU) telah memutuskan wakil rakyat mereka yang jadi menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN akan menarik balik sokongan pada Ogos depan, namun arahan itu seperti tidak akan dipedulikan oleh sembilan menteri dan lima timbalan menteri.

Sembilan menteri itu ialah, Annuar Musa, Noraini Ahmad, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ismail Sabri Yakob, Shamsul Anuar Nasarah, Halimah Mohamad Sadiqe , Hishammuddin Hussein, Reezal Merican Naina Merican dan Adham Baba.

Mereka seperti akan kekal dalam kerajaan setidak-tidaknya sehingga parlimen dibubarkan, dimana pembubaran itu menyebabkan jawatan mereka turut termansuh secara automatik.

Jika itu berlaku bermakna sembilan menteri itu tidak ada apa-apa nilai pengorban untuk parti mereka yang boleh dibanggakan ahli bawahan.

Perkara ini dapat dilihat kepada sikap para menteri itu yang akur dengan nasihat Muhyiddin Yassin yang meminta mereka kekal dalam kerajaan atas alasan untuk bantu rakyat dan dikala negara sedang diancam pandemik.

Perkara ini dinyatakan oleh Muhyiddin selepas para mereka itu berjumpa dengannya untuk meminta nasihat setelah parti Umno membuat keputusan.

Kata Muhyiddin seperti dilapor semua menteri Umno bersetuju untuk kekal dalam kerajaan. Ertinya kesembilan menteri itu bersetia dan berkhidmat dengan Muhyiddin.

Apa yang berlaku itu agak aneh sedikit, kenapa menteri itu berjumpa dan meminta pandangan perdana menteri mengenai kedudukan mereka. Kenapa mereka tidak berjumpa dengan Zahid Hamidi selaku presiden parti untuk meminta nasihat dan pandangan mengenai kedudukan mereka. Walaupun mereka sudah maklum keputusan PAU tetapi seeook-eloknya mereka berjumpa secara formal dan eksukutif dengan presiden parti.

Apakah mereka lebih menghormati Muhyiddin berbanding dengan Zahid? Benar mereka berada di dua keadaan, selaku jemaah menteri dan ahli parti. Sebagai jemaah menteri wajar mereka berjumpa dan meminta pandangan Muhyiddin, tetapi tidak boleh membelakangkan Zahid atau meletakkan Zahid diurutan ke dua.

Sebagai ahli parti mereka juga perlu meminta nasihat dan kauseling daripada Zahid. Dalam konteks politik mereka seharusnya lebih menghormati dan mengutamakan kehendak Zahid berbanding dengan Muhyiddin.

Iya, walaupun PAU menetapkan mereka akan berundur daripada kerajaan pada Ogos itu hanya tektikal sahaja. Apa yang sepatutnya mereka faham mesej keputusan PAU itu dengan meletakkan jawatan sebaik sahaja PAU itu selesai. Tindakan begitulah baru dilihat sebagai gentlemen. Sama ada mereka akan diminta berkhidmat, ia boleh dirundingkan selepas itu. Mereka perlu menunjukkan komitment dan pengorbanan mereka yang mahu dilihat oleh ahli.

Apabila mereka tanpa berbuat sesuatu yang boleh dijadikan kayu ukur sejauh mana pengorbanan mereka, jangan marah kalau mereka dituduh mementingkan perut daripada parti dan perjuangan. Hari ini pun apabila mereka terus menyokong Muhyiddin ada yang marah dan kecewa.

Dengan apa yang berlaku itu ia memberi masalah kepada Umno dan tidak menguntungkan parti Melayu itu. Lima bulan lagi untuk sampai Ogos suatu masa yang panjang dan boleh berlaku apa-apa sahaja yang diluar orbit pemikiran biasa. Umno sepatutnya tidak bertolak ansur dan berdiplomasi untuk segera menarik sokongan. Muhyiddin tentu akan menggunakan peluang tersebut untuk berikhtiar mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Sudah tentu kesembilan orang menteri itu dan timbalan akan dijadikan tongkat serandang untuk memperkukuhnnya. Muyiddin juga akan jadi model menunjukkan beliau disokong. Apa dibimbangkan, apabila sudah selesa dengan kerajaan PN, dan dalam masa sama menjadi tawar hati pula dengan kepimpinan parti (Umno), lama kelamaan mereka akan larut dan sebati dengan Muhyiddin.

Ia dapat dilihat apabila bekas presiden Najib Razak dan Zahid disumbat ke dalam penjara. Musibah itu menyebabkan mereka tambah selesa dan tidak mustahil juga akan berunding untuk memperdagangkan parti demi kepentingan mereka secara peribadi. Dalam politik kini keutamaan diri lebih penting daripada parti.  – MSO