Sembilan jam bertarung nyawa selepas terlibat nahas di jalan raya

Sembilan jam bertarung nyawa selepas terlibat nahas di jalan raya

Seorang pengawal keselamatan maut awal pagi tadi selepas sembilan jam bertarung nyawa susulan terlibat dalam nahas di Jalan Kampung Padang Keladi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa, Salim Aman, 50, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 5.15 petang.

Salim yang terlibat nahas di Jalan Kampung Padang Keladi, Melaka maut selepas sembilan jam bertarung nyawa.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta jenis Honda Civic.

“Mangsa telah merempuh bahagian sisi kanan kereta terbabit dan menyebabkannya melambung ke tengah jalan raya.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 1.25 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketika kejadian, cuaca dalam keadaan baik, namun keadaan lalu lintas sedikit sibuk.

“Jenazah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita bagaimanapun meminta mana-mana pihak atau saksi nahas tersebut tampil bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.