Selepas Johor, DUN Perak bakal bubar, ini respon Saarani Mohamad

Selepas Johor, DUN Perak bakal bubar, ini respon Saarani Mohamad

DUN Perak bakal bubar, ini respon Saarani Mohamad. Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana kerajaan negeri mempunyai sokongan kuat termasuk daripada kem pembangkang.

Menteri besar Saarani Mohamad berkata justeru ia berbeza dengan situasi politik di Johor dengan kerajaan yang mempunyai majoriti tipis.

Selepas Johor, DUN Perak bakal bubar, ini respon Saarani Mohamad

“Saya tidak tahu apa alasan di Johor, kemungkinan majoriti yang tipis itu. Di Perak sekarang saya mendapat sokongan kuat daripada parti yang mendukung kerajaan dan juga mendapat sokongan kuat daripada pembangkang.

“Tiada sebab untuk kita membubarkan kerajaan negeri kerana masih ada masa dan peluang untuk kita membangunkan negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Arena Sukan Aulong di Taiping, hari ini.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan kerajaan Perak susulan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang susulan kematian Adun Kempas Osman Sapian yang juga bekas menteri besar pada 21 Dis lepas.

Kerajaan Perak ketika ini memiliki sokongan 36 Adun dengan BN mempunyai 25 kerusi diikuti Bersatu empat kerusi; PAS tiga kerusi; Parti Bangsa Malaysia (PBM) tiga kerusi dan Bebas satu kerusi.

DUN Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

Dalam perkembangan lain Saarani berkata dia hadir ke majlis hari ini atas jemputan Adun Aulong yang juga Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan bukannya atas jemputan parti itu untuk merasmikan Arena Sukan Aulong.

“Walaupun ada perbezaan pendapat dan pandangan politik matang orang akan kata kita hipokrit, saya bagi duit peruntukan yang sama kepada Adun pembangkang berbelanja untuk keperluan rakyat.

“Saya mengambil pengalaman kerajaan sebelum ini tidak memberikan peruntukan kepada pembangkang dan bila saya jadi pembangkang, kerajaan yang memerintah pula tidak bagi peruntukan dan orang kawasan saya pun tidak dapat. Siapa juga yang menjadi menteri besar kena berbuat kebajikan kepada seluruh rakyat negeri ini dan ini menjadi tanggungjawab saya,” katanya.

Dia berkata demikian semasa mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Perak Daniel Wa dalam aplikasi WhatsApp yang antara lain mempersoal kehadiran Saarani dan Nga di satu pentas seolah-olah menteri besar itu tidak menghormati semangat BN termasuk sekutunya iaitu MCA, MIC serta perasaan ahli Umno sendiri.

-Bernama