Selangor rekod jumlah kes harian tertinggi, PKPD ditamatkan malam ini, apa selepas ini, soal warganet

Selangor rekod jumlah kes harian tertinggi, PKPD ditamatkan malam ini, apa selepas ini, soal warganet

Warganet mempersoalkan apa pula langkah seterusnya yang akan dilakukan di Selangor selepas perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ditamatkan tengah malam ini.

Mereka berkata, PKPD tidak membantu mengurangkan kes Covid-19 di Lembah Klang malah menimbulkan kebimbangan berlaku peningkatan kes pada Hari Raya Haji (20 Julai ini).

PKPD yang dikenakan di 34 mukim di Selangor bermula 3 hingga 17 Julai akan ditamatkan menjelang tengah malam ini, walaupun negeri itu merekodkan jumlah kes harian tinggi.

Seorang pengguna media sosial @hanifhanif8 berkata, ketika pelaksanaan PKPD diumumkan awal bulan ini, terdapat sekitar 6,000 kes jangkitan dan kini kes baharu melonjak kepada lebih 12,000 selepas dua minggu.

“Tolong beri rakyat dengan perkara yang logik,” katanya di Twitter.

Seorang lagi pengguna Twitter, @eeying1998, bertanya apakah jenis PKP lain yang akan dilaksanakan bagi menggantikan PKPD di Selangor bermula esok.

“Jadi, jika PKPD ditamatkan, apa pula sekarang? PKP? PKPP? Jangan biarkan kami tertanya-tanya,” katanya.

Manakala pengguna, @zul_ajk, berkata ketika PKPD ditamatkan, ia tidak bermakna bilangan kes Covid-19 berkurang.

“Ramai yang kecewa PKPD tidak berjaya, tetapi sekurang-kurangnya kadar vaksin meningkat,” katanya.

Sementara itu, @shyxmm berharap mereka yang menyambut Hari Raya Haji pada Selasa ini akan terus duduk di rumah dan tidak menziarahi keluarga serta saudara.

“Di Selangor sahaja terdapat 5,000 kes dan PKPD ditamatkan malam ini, cuma beberapa hari sebelum cuti Hari Raya Haji.

“Jangan melakukan perjalanan, jangan ziarah, duduk di rumah dan sambutnya di rumah. Kita tidak mampu untuk menghadapi kenaikan kes lagi selepas minggu depan,” katanya.

Sumber | FMT