Sedia bertemu Anwar bincang kerjasama, kata Dr M

Sedia bertemu Anwar bincang kerjasama, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad sedia bertemu Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, dan membincangkan kerjasama politik.

Bekas perdana menteri itu menjelaskan matlamat beliau ialah mengalahkan pihak tertentu dan sanggup bekerjasama dengan “bekas-bekas musuh” untuk mencapainya.

“Saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan,” katanya di Twitter.

“Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya.”

Mahathir yang pernah menjadi pengerusi PH mengingatkan bahawa kerjasama seperti itu pada PRU14 berjaya menjatuhkan Najib Razak.

“Kejatuhan Najib menunjukkan kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita,” katanya.

Kenyataan oleh pengerusi Pejuang ini tidak lama selepas beliau berkata gabungan pimpinannya, Gerakan Tanah Air tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Perikatan Nasional pada PRU15.

Kerjasama antara Mahathir dan Anwar sebelum ini tidak bertahan lama susulan pertikaian mengenai peralihan kuasa. Pentadbiran PH akhirnya tumbang selepas 22 bulan berkuasa.