Sebak !!! ‘Kalau mak pergi, kita pergi bersama…’, perbualan terakhir anak, ibu

Sebak !!! ‘Kalau mak pergi, kita pergi bersama…’, perbualan terakhir anak, ibu

“Kalau mak pergi, mak kena bawa orang sekali.” “Aku tak tinggal kau, kita pergi sama-sama.” Itulah ayat terakhir perbualan seorang anak dan ibunya, yang disahkan positif Covid-19 selepas mereka meninggal dunia semalam.

Romlah Selamat, 52, berkata adik bongsunya berusia 43 tahun meninggal dunia seorang diri di dalam bilik di rumahnya di Hulu Langat, Selangor manakala ibunya berusia 84 tahun meninggal dunia ketika dijaga oleh anaknya yang lain.

Katanya, ketika hayat mereka, dua beranak itu sangat rapat lebih-lebih lagi adik bongsunya itu tidak berkahwin dan beliau mengambil tanggungjawab menjaga orang tua mereka yang sakit tua.

Bagaimanapun, Romlah berkata, selepas kesihatan ibunya merosot, mereka sepakat membawa ibu ke rumah kakak yang terletak di taman berdekatan untuk pemerhatian rapi kerana adiknya juga tidak sihat ketika itu.

“Emak sudah enam hari tiada selera makan, jadi kami adik beradik sepakat bawa mak dan jaganya di rumah kakak.

“Adik pula menolak untuk ikut serta dan mahu berehat di rumah seorang diri kerana kurang sihat. Tetapi berulang-kali adik beritahu mak supaya bawa dia pergi sekali jika mahu ke ‘sana’,” katanya kepada FMT.

Romlah berkata, pemergian adik bongsu daripada 12 beradik itu disedari selepas anak buahnya pergi ke rumah berkenaan petang semalam untuk mengambil kad pengenalan ibunya dan mendapati adiknya sudah tidak sedarkan diri dan seluruh badan “kebiruan”.

“Pagi sebelum itu, kami ada hubungi adik beritahu mak semakin tenat dan turut disahkan positif Covid-19. Beliau terkejut dan suaranya agak lemah,” kata Romlah.

Selepas menerima khabar duka pemergian adiknya itu, ibunya pula menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian.

Romlah berkata, kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat.

“Pihak hospital memaklumkan, adik meninggal dunia pada sebelah pagi dan disahkan positif Covid-19. Punca kematian akibat penyakit jantung yang dihidapinya.

“Manakala ibu pula sakit tua, yang turut disahkan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, ketika hayat mereka, dua beranak itu pernah menyuarakan hasrat untuk dikebumikan dalam satu liang lahad jika ditakdirkan mati bersama.

Bagaimanapun katanya, hasrat itu tidak dapat ditunaikan kerana ibunya dikebumikan petang semalam manakala adiknya masih di hospital untuk proses terakhir bedah siasat.

“Tidak dapat selang pun, mak dan adik mungkin tetap dapat ‘bersama’ kerana akan dikebumikan sebelah-menyebelah di Hulu Langat,” katanya sambil menambah, adiknya dikebumikan awal hari ini.

Romlah berkata, pemergian dua insan yang sangat rapat dengannya itu amat memberi kesan lebih-lebih lagi adik bongsunya itu sering menghubungi beliau untuk membantu menjaga ibu mereka jika dia keluar berniaga di pasar malam ketika hujung minggu.

“Kehidupan adik saya hanya berkisar mengenai ibu dan berniaga, jika tidak berniaga dia akan luang masa untuk mak. Tak pernah dia merungut kena jaga mak yang sakit tua sepanjang hayatnya,” katanya dengan nada sayu.

Lebih meruntun hati apabila angkara virus durjana Covid-19, semua anggota keluarga tidak dapat mengiringi pemergian insan tersayang mereka buat kali terakhir.

Katanya, mereka sekeluarga berasa kesal atas pemergian serentak dua insan tersayang. Hanya kiriman doa dan alunan suci Al-Quran tanpa henti menjadi “hadiah” paling bermakna.

“Tak puas belai mak…,” tambahnya.

Ketika ini, Romlah dan empat ahli keluarga yang lain turut disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani perintah kuarantin di rumah. | FMT

COMMENTS