‘Sebak dengar rintihan si kecil’

‘Sebak dengar rintihan si kecil’

Seharian memberi bantuan kepada mangsa banjir di Temerloh, Pahang, minggu lalu, menghadiahkan pengalaman cukup berharga kepada pelakon, Ashraf Muslim.

Ibarat pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’, Ashraf yang menjalankan misi itu bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mengaku hatinya luluh melihat kemusnahan akibat bencana alam dan nasib menimpa mangsa.

“Sebak rasa hati selepas melihat banyak kediaman di daerah berkenaan rosak akibat banjir. Saya bertemu sebuah keluarga yang rumah mereka musnah teruk akibat banjir hingga terpaksa menumpang di rumah saudara.

“Apabila ditanya, mereka masih masih menunggu bantuan dan menaruh harapan moga ada pihak sudi membaiki rumah mereka yang rosak itu.

Bukan keluarga itu sahaja, nasib sama turut menimpa penduduk sekitar yang hilang tempat berlindung akibat bencana alam itu. Apa yang berlaku di depan mata menyedarkan saya mengenai ujian diberi Allah terhadap hamba-Nya,” katanya kepada BH Online.

Pelakon kelahiran Teluk Mas, Melaka itu berkata, dia berharap rakyat dapat membantu mangsa banjir dalam keadaan wabak COVID-19 yang belum pulih dan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

“Semoga bantuan disalurkan dapat meringankan beban yang ditanggung mereka,” katanya.

Insiden lain yang turut membekas dalam hati pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa ini adalah apabila seorang kanak-kanak mengadu kehilangan barang paling berharga yang amat dirindui akibat banjir.

“Ketika saya bertanya soalan itu kepada kanak-kanak terbabit, jawapan yang diberi bukan sahaja mengejutkan, malah, membuatkan saya tersentak.

“Kanak-kanak itu beritahu merindukan buku sekolahnya yang hanyut dibawa arus. Saya sangka jawapan yang mungkin diberi adalah telefon bimbit atau beg. Ternyata betapa pentingnya ilmu kepada anak itu sehingga merasakan suatu kehilangan besar apabila bukunya hilang,” katanya.

Ashraf atau nama sebenarnya, Muhd Ashraf Muslim, 39, berkata, biarpun sumbangan dihulurkan kecil, hatinya puas dapat memberi sokongan moral kepada mangsa banjir.

“Saya rasa seronok melihat riak kegembiraan terpancar pada wajah mereka sebaik sahaja melihat kehadiran kami. Sambil mengagihkan bantuan, saya ambil kesempatan itu untuk bersembang dengan mereka.

“Mereka teruja apabila ada insan lain yang prihatin dan sudi mengambil berat terhadap keperitan dialami. Dalam situasi sekarang, bukan sahaja bantuan fizikal diperlukan, malah sokongan moral agar mereka tahu tidak berseorangan dalam menghadapi musibah ini,” katanya.

Ashraf yang membintangi drama rantaian Dia Menantu Rahsia bertekad meneruskan misi serupa di lokasi banjir lain yang sudah dikenal pasti.

“Minggu ini, kami akan pergi ke Raub untuk menghantar bantuan. Jika sebelum ini kita agihkan keperluan harian, kali ini kita menghantar tilam dan bantal.

“Selepas banjir surut, barulah kita dapat tahu apa barangan yang diperlukan mangsa untuk meneruskan kehidupan mereka. Selain itu, kami akan mengunjungi surau dan masjid yang terjejas untuk dibersihkan,” katanya.

Ashraf berkata, beberapa selebriti akan turut serta dalam misi amal ke Raub.

“Niat asal mahu mengajak mereka turut serta dalam misi pertama. Namun, disebabkan keputusan dibuat pada saat-saat akhir, kami tidak dapat mengundang selebriti lain,” katanya mengalu-alukan sumbangan orang ramai menjayakan misi berkenaan. – BH