Saya ‘tetap lantang’ tapi tidak ikut jejak Azmin Ali

Saya ‘tetap lantang’ tapi tidak ikut jejak Azmin Ali

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menegaskan beliau akan terus lantang dengan tegurannya walaupun menanggung risiko Anwar Ibrahim “kecil hati”.

Bagaimanapun, Rafizi berkata beliau tidak sesekali mengikut jejak Azmin Ali yang mengkhianati parti selepas menabur pelbagai janji mengenai kesetiaan kepada Anwar dan PKR.

Rafizi Ramli

Sebaliknya, harapan beliau hanya mahu diadili atas usaha dan kerja yang dilakukan terhadap parti.

“Saya tak mahu diangkat, dijulang, Kalau presiden nak kecil hati, kecil hati lah. Saya harap dihakimi, diadili atas usaha, kerja saya,” kata Rafizi dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR.

Semalam, Anwar menegur Rafizi supaya tidak menggunakan kongres parti untuk memberi pandangan negatif berkaitan dirinya, sebaliknya teguran boleh dibuat secara dalaman.

Teguran tersebut dibuat susulan Rafizi berkata popularitinya sebagai ketua pembangkang ketika ini mengalami kemerosotan.

Rafizi turut berkata sekiranya beliau menjadi Anwar, beliau akan menerima dapatan kajian berkenaan kerana ia memberi kesan langsung kepada Pakatan Harapan (PH), menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, dipentas kongres hari ini, Rafizi mengingatkan Anwar bahawa beliau bukan individu yang “membuat janji manis, tapi tikam dibelakang” dengan merujuk kepada Azmin.

“Saya nak sebut kepada Anwar. Saya mungkin lantang tapi saya bukan Azmin Ali. Saya telah buktikan saya tak berminat jawatan menteri.

“Saudara presiden, ingat, saya bukan buat janji manis tikam belakang. Saya tak pernah janji pasal (keluarkan) Anwar dalam penjara, untuk pecahkan tembok penjara, depan janji tapi belakang runding.

“Kami tumbuk tembok tak pecah-pecah, kami pusing satu Malaysia nak menangkan parti supaya dapat bebaskan Anwar dari penjara,” katanya.

Malah, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan terus bersikap tegas pada parti kerana “mulutnya tak akan manis sampai bila-bila” kerana apa yang diperkatakan merupakan ingatan buat parti.

Rafizi turut menegur wakil rakyat yang sering mendampingi Anwar dalam sesi kempen supaya melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh rakyat.

“Kita tak mahu pimpinan yang hanya laung kesetiaan pada parti dan presiden, dan rakyat tak cukup halalkan kerana mereka tak buat kerja,” katanya.