Saya nampak tenang tapi dalam jiwa berkocak

IPOH: “Sebenarnya saya nampak tenang tetapi dalam jiwa dan diri berkocak..” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengulas keputusan undi usul percaya yang tidak menyebelahinya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi tadi.
Ahmad Faizal berkata, beliau perlu kekal tenang agar kestabilan negeri terjamin di samping mengelakkan rakyat bertelagah sesama sendiri.
“Sebenarnya saya nampak tenang tapi dalam jiwa dan diri saya berkelodak, ..berkocak juga kerana saya begitu risau bajet tidak sempat saya hendak bentangkan petang ini.
Saya sebenarnya mengharapkan agar jika pun ada usul percaya ini dilakukan selepas kita meluluskan bajet, kerana saya fikir saya bersama barisan EXCO dan penjawat awam di negeri ini sudah mengusahakan bajet yang saya fikir sangat baik untuk kita mengemudi kerajaan dan negeri ini dalam keadaan yang lebih baik.
“Namun saya fikir saya perlu mengekalkan ketenangan supaya rakyat tidak bergaduh sesama sendiri, tidak terlalu berpolitik kerana dari mula dulu saya sentiasa mengatakan kita mengutamakan kepentingan rakyat. Bunyi macam retorik tetapi itu yang sebenarnya,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Projek Masjid dan Surau di negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Pagi tadi, Ahmad Faizal agal memperoleh majoriti sokongan usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagian yang ditetapkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Mohammad Zahir memutuskan proses pengundian belah bahagian dibuat selepas menerima cadangan Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) yang disokong oleh Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan).
Abdul Manaf dilaporkan berkata, tujuan usul undi percaya itu adalah bagi menentukan keabsahan kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.