Sarjan, koperal ‘dicekup’ positif dadah ketika berhibur

Sarjan, koperal ‘dicekup’ positif dadah ketika berhibur

Lima anggota polis ditahan kerana positif dadah dalam serbuan oleh Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman di sebuah pusat hiburan di tingkat 6, Menara UP, Jalan Puchong, di sini kelmarin.

Menerusi serbuan pukul 11.45 malam itu pelbagai jenis dadah turut ditemukan daripada tiga anggota yang ditahan.

Kesemua mereka ditahan terdiri daripada seorang anggota berpangkat sarjan manakala empat lagi berpangkat koperal.

Satu sumber berkata, mereka yang ditahan bertugas di Bahagian D6 dan D10, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan seorang lagi anggota bertugas di Bahagian D4, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Selain anggota polis terbabit, pasukan yang melakukan serbuan turut menahan penjaga premis yang juga seorang wanita tempatan, seorang pelayan wanita warga Vietnam dan tiga lelaki Bangladesh,”katanya di sini hari ini.

Terdahulu, satu laporan tangkapan tersebar di aplikasi Telegram memaklumkan pelbagai dadah bernilai hampir 6.93 gram (gm) dadah jenis syabu, 0.87 gm dadah ganja, 5.65 gm dadah jenis ketamin dan 26 pil eramin 5 dirampas.

Selain dadah, polis turut merampas peralatan permainan muzik dan dua pembesar suara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.