Sanusi perlu henti bersikap kebudak-budakan, kata Pemuda UMNO

Sanusi perlu henti bersikap kebudak-budakan, kata Pemuda UMNO

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor perlu berhenti daripada bersikap kebudak-budakan serta biadab dengan kerabat diraja di negara ini khususnya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kelakuan Muhammad Sanusi itu tidak hanya menjejaskan imejnya selaku Menteri Besar malah menggalakkan rasa kurang hormat rakyat kepada Raja-Raja Melayu.

Menurut beliau, Muhammad Sanusi ketika ini jelas mempamerkan sikap buruk kepada rakyat khususnya generasi muda, sekali gus memalukan Kedah.

“Memupuk budaya negatif sebegitu bukanlah satu amalan matang untuk seorang pemimpin kerajaan negeri. Malah perkara tersebut turut memalitkan aib kepada imej Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang melantik beliau sebagai Menteri Besar.

“Beliau tidak perlu mencipta publisiti murahan dengan taktik berkenaan sebaliknya perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di negeri ini, sejak mengambil alih pentadbiran negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Syed Mohd. Johan dalam pada itu turut menyarankan Muhammad Sanusi agar memberi fokus kepada isu keberkesanan khidmat Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang merudum di zaman pentadbirannya.

“Muhammad Sanusi juga perlu mencari punca sebenar prestasi hambar skuad Kenari ketika ini sebelum ‘tertomoih’ ke liga lebih rendah pada musim depan. Seperkara lagi, prestasi kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Kedah juga gagal mencapai sasaran 25 emas,” katanya.

Tambahnya, selaku rakyat Kedah, dirinya berniat ikhlas menegur Muhammad Sanusi apatah lagi tempoh beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar hanya berbaki beberapa bulan saja lagi.

“Usahlah buang masa dengan leka mencari gaduh di media sosial. Banyak lagi kerja penting yang perlu beliau laksanakan,” katanya.