Salahuddin yakin negeri Johor mampu menyumbang kemenangan PH tubuh kerajaan baharu

Salahuddin yakin negeri Johor mampu menyumbang kemenangan PH tubuh kerajaan baharu

Pakatan Harapan (PH) Johor menyasarkan untuk memenangi 22 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Johor pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH Johor, Salahuddin Ayub berkata, gabungan itu yakin sasaran berkenaan dapat dicapai berdasarkan momentum dan prestasi cemerlangnya pada PRU14 yang berjaya menawan 18 kerusi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Beliau turut berkeyakinan PH mampu menawan kerusi Pengerang, Pontian, Tenggara dan Sembrong.

“Kita menyediakan barisan (calon) terbaik yang telah ditapis untuk PRU15, bukan sekadar sandar 18 kerusi pada PRU14, tetapi kita nampak kita punyai potensi lebih (untuk menang).

“Insya Allah, Johor akan menjadi negeri yang akan menyumbang kepada kemenangan PH untuk menubuhkan kerajaan baharu di peringkat persekutuan,” katanya pada sidang media pengenalan calon PH Johor di sini.

Salahuddin, yang akan mempertahankan Parlimen Pulai berkata demikian ketika ditanya sasaran kerusi yang mahu dimenangi PH.

Mengenai Parlimen Tanjung Piai yang diberikan kepada Muda serta pertukaran Parlimen Pontian daripada PKR kepada DAP, Salahuddin dan Timbalan Pengerusi PH Johor, Syed Ibrahim Syed Noh senada perkara itu sudah selesai.

“Tiada pertikaian lagi. Itu disiplin kita dalam PH, kita boleh bincang. Bila sudah diputuskan kita akur walaupun ada ketidakpuasan hati, itu disiplin kita. Apa yang penting, satu musuh harus ditewaskan,” kata Salahuddin.

Syed Ibrahim pula mengakui agak terkejut dengan keputusan gabungan itu mengenai kedua-dua kerusi berkenaan, namun yakin keputusan kepimpinan tertinggi PH.

“Saya memohon akar umbi menerima dan beri sokongan. Mungkin semua ini ada hikmahnya, yang penting kita ada satu matlamat sama. Kalau kita tidak boleh sokong sesama parti, kita akan tewas kepada parti lawan,” katanya.