Saksi sahkan terima RM1.3 juta, Muhyiddin juga perlu didakwa, kata Razlan

Saksi sahkan terima RM1.3 juta, Muhyiddin juga perlu didakwa, kata Razlan

Saksi sahkan terima RM1.3 juta, Muhyiddin juga perlu didakwa, kata Razlan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Razlan Rafii menggesa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Gesaan itu setelah seorang saksi dalam perbicaraan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam dalam keterangannya berkata Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) telah memberikan RM1.3 juta kepada Muhyiddin semasa dia menjadi menteri dalam negeri pada 2018.

Razlan mendakwa Zahid didakwa di mahkamah pada 2018 manakala Muhyiddin tidak dikenakan tindakan sama kerana bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berdendam dengan Umno.

“Mahathir sebagai perdana menteri sudah pasti tahu maklumat bahawa Muhyiddin merupakan watak yang menerima duit dari UKSB. Thommy Thomas sebagai peguam negara sudah pasti tahu bahan kes dan siapa yang terlibat.

“Tomahan penyamun dan perompak oleh Mahathir (terhadap Zahid) adalah akibat dendam dan kebencian beliau kepada Umno, tiada unsur lain.

“Sekiranya ia demi keadilan, kenapa Muhyiddin tidak didakwa seperti Zahid?” soalnya dalam kenyataan semalam.

Ketika perbicaraan kes rasuah terhadap Zahid berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) semalam, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun berkata syarikat itu memberi RM1.3 juta kepada Muhyiddin secara tunai antara 4 Jun hingga 23 Ogos 2018.

Muhyiddin kemudian menafikan dakwaan itu dan berkata dia sedia disiasat oleh SPRM.

Razlan berkata di saat Zahid perlu membela dirinya di mahkamah dan berdepan kritikan orang ramai, Muhyiddin hanya perlu membuat kenyataan media.

“Muhyddin mesti didakwa atas tuduhan yang sama yang dikenakan kepada Zahid. Salah atau tidak, ianya mesti dijawab di mahkamah,” katanya.