Sah! Keahlian Tun Faisal digantung 6 tahun

Sah! Keahlian Tun Faisal digantung 6 tahun

Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini mengesahkan seorang ahlinya digantung selama enam tahun.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat MT malam ini mengesahkan keputusan Jawatankuasa Lembaga Disiplin berhubung pergantungan berkenaan.

Walau bagaimanapun, Ahmad enggan mendedahkan nama ahli UMNO yang terlibat.

“Saya hanya boleh memaklumkan mesyuarat MT mengesahkan keputusan lembaga disiplin berhubung pergantungan itu.

“Surat pergantungan ini baru sahaja dihantar kepada individu berkenaan sebentar tadi,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Menara Dato Onn di sini, malam semalam.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memaklumkan individu berkenaan adalah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata beliau masih belum menerima surat pergantungan berkenaan.

“Saya tunggu dahulu kenyataan rasmi daripada MT UMNO,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipercayai menggerakkan agenda bagi menyekat peluang Tun Faisal menjadi calon bagi kawasan Parlimen Putrajaya.

Menurut sumber, ini selepas Ahli Parlimen Putrajaya itu dikatakan merancang agar Tun Faisal dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti dengan membuat aduan atas kesalahannya mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber itu yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Putrajaya mendakwa, perancangan dibuat melalui satu pertemuan tertutup dengan sekumpulan kira-kira 50 ahli jawatan kuasa bahagian dan ketua cawangan untuk menyokong tindakan tersebut dengan diminta setiap orang menandatangani surat sokongan.

Sementara itu, Ahmad Maslan turut mengesahkan kehadiran tetamu kehormat esok yang terdiri daripada Presiden Pas dan timbalannya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain itu, Presiden dan Timbalan Presiden MIC serta MCA turut hadir pada persidangan Perhimpunan Agung UMNO berserta Timbalan Presiden PBRS, Setiausahanya dan Friends of BN. – UTUSAN ONLINE