Rumah penduduk Tok Kaya di roboh dikesali

Tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merobohkan dapur dan bilik tidur sebuah rumah penduduk di Kampung Tok Kaya, Kuala Terengganu tanpa notis yang munasabah dianggap tidak wajar dan tidak prihatin, lapor sebuah laman berita tempatan Terengganu, Daruliman.my.

Pemilik rumah itu, Omar Abdullah berkata, beliau hanya meminta tempoh 10 hari diberikan untuk membolehkan beliau meroboh sendiri bahagian berkenaan supaya ia lebih memudahkan pihak beliau, lapor laman berita itu.

“Saya hanya minta tambahan masa supaya dapat alihkan barangan saya sahaja, itupun tertangguh kerana hujan lebat beberapa hari ini yang melewatkan kerja kerja sedia ada.

Tetapi mereka tetap bertegas untuk merobohkan juga bahagian dapur rumah saya atas alasan kerja kerja projek perpaipan perlu diteruskan tanpa gangguan,” kata Omar kepada laman itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat tindakan MBKT dan Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu adalah tidak wajar dan tidak prihatin.

“Saya berdukacita dengan tindakan pihak berkuasa ini yang hadir merobohkan (sebahagian) rumah ini tanpa notis yang munasabah,” lapor laman itu lagi.

Raja Kamarul Bahrin Shah ditemui semasa menziarahi Omar yang mana bahagian dapur dan bilik tidur rumahnya telah dirobohkan oleh jentolak dari pihak berkuasa MBKT dan Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu

“Apa yang saya lihat disini, kerja yang hendak diteruskan itu tidaklah begitu kritikal dan bukannya dalam keadaan terburu buru. Tetapi cara yang dibuat (tindakan merobohkan) itu terlalu kasar tanpa memberi ruang budi bicara kepada pemilik rumah ini. Lihatlah lepas dirobohkan dengan jentolak, ditinggalkan begitu sahaja untuk tuan rumah uruskan pula,” kata Raja Bahrin, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Kata beliau, tuan rumah telah meminta agar diberikan masa 10 hari lagi untuk dia sendiri uruskan permintaan merobohkan struktur tersebut. Malah kerja kerja merobohkan struktur binaan dan membuka laluan untuk projek bypass itu telah dimulakan oleh tuan rumah.

“Apa yang diminta hanyalah tempoh masa sahaja untuk memindahkan semua perabot yang ada kerja kerja membuka laluan,” katanya.

Raja Kamarul turut memberikan perbandingan isu ini dengan perobohan kediaman di Banggol Donas pada tahun 2015.

Beliau menambah pada masa itu, ruang budi bicara dan perbincangan berlaku sehingga beberapa kali tindakan merobohkan rumah itu tertangguh.

“Pada masa itu kerajaan diterajui oleh Barisan Nasional dan yang membela rumah rakyat ialah pemimpin Pas. Namun hari ini apabila Pas memimpin kerajaan negeri, tindakan yang sama pula dilakukan kepada rakyat, malah kepada penyokongnya sendiri lagi,” tambah bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.

Malah, katanya, dalam kes hari ini, kehadiran rombongan pihak berkuasa telah menolak sama sekali rundingan dan rayuan tuan rumah yang sedang melakukan kerja kerja yang telah diminta dalam notis sebelum ini.

“Apa yang mendukacitakan saya ialah walaupun Exco Kerajaan Negeri Terengganu (Wan Sukairi Wan Abdullah) turut hadir tetapi beliau tidak dapat melakukan apa apa rundingan untuk menangguhkan tindakan roboh ini. Ini memberikan satu imej yang sangat tidak baik kepada Kerajaan Negeri.

“Jelas ini terbalik dengan apa yang Pas lakukan pada mangsa di Banggol Donas 5 tahun lalu. Kalau benar kerajaan negeri hari ini membela rakyat, tindakan seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” kata beliau lagi kepada laman itu.

Sumber berita : https://malaysiadateline.com/rumah-penduduk-tok-kaya-di-roboh-dengan-jentolak-dikesali-lapor-portal-berita/