Rujuk pihak berkuasa agama berkaitan vaksin Covid-19

Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan berharap kajian terperinci dilakukan selain merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memastikan vaksin Covid-19 menepati syarak, sebelum ia dapat digunakan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu penting bagi mengelak berlaku sebarang polemik di kemudian hari.
“Ada dalam masyarakat yang tolak terus vaksin, tetapi bagi saya ini tidak tepat daripada segi agama sebab vaksin antara usaha untuk kita mencegah daripada sesuatu penyakit.
“Jadi, kalau ia halal dan tidak bercanggah syarak apa salahnya. Namun, kita minta kerajaan menjalankan kajian terperinci dan merujuk kepada pihak berkuasa agama atau majlis fatwa supaya tidak timbul polemik dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia dijangka memperoleh bekalan vaksin Covid-19 pada suku pertama tahun depan.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan bersama, keutamaan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis serta petugas penjara dan imigresen.
Katanya, setakat ini, KKM sudah berhubung dengan lapan pembangun vaksin yang kini berada di peringkat ujian klinikal fasa tiga.