Rogol gadis 14 tahun, Lapan remaja direman 7 hari

Rogol gadis 14 tahun, Lapan remaja direman 7 hari

Lapan orang remaja ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang gadis berusia 14 tahun di Tawang di sini baru-baru ini.

Perintah reman yang bermula semalam sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi di Mahkamah Majistret di sini.

Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 14 hingga 18 tahun itu dicekup selepas polis menerima laporan berhubung kes tersebut kelmarin.

Menurutnya, laporan berkait kes rogol melibatkan seorang remaja berusia 14 tahun itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini.

“Bertindak atas maklumat tersebut, polis telah menangkap kesemua saspek yang terlibat,” katanya.

Menurut Mohamad Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan.