Rodziah ‘gempur’ Ampang, ulang mesej Zuraida ‘khianat’ pada penduduk

Rodziah ‘gempur’ Ampang, ulang mesej Zuraida ‘khianat’ pada penduduk

Kempen PH di Parlimen Ampang hari ini dimulakan dengan sebuah trak pikap dengan speaker yang dipasangkan dengan ceramah-ceramah politik, termasuk dari Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Di sini, calon PH dari PKR Rodziah Ismail dalam usaha menyingkirkan penyandang yang juga ketuanya dahulu dalam Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Rodziah 'gempur' Ampang, ulang mesej Zuraida 'khianat' pada penduduk

Trak tersebut membuat pusingan beberapa kali di Kampung Dato Mufti Shuib di Ampang Jaya, dan bergerak perlahan setiap kali melalui kedai-kedai makan di situ.

Ketika ditemui di salah satu gerai di situ, Rodziah menggesa para pengundi mengimbas kembali tindakan Zuraida yang berpaling tadah terhadap PH dan PKR ketika Langkah Sheraton pada 2020.

Ia merupakan mesej yang telah disampaikan sejak sebelum kempen oleh PKR, dalam usahanya merampas semula kerusi Parlimen yang dipegang oleh bekas pemimpin parti itu.

Pada masa sama, Rodziah juga membangkitkan pengalamannya sebagai exco kerajaan negeri sejak 2008 untuk meraih sokongan pengundi di situ.

“Kita bukan saja perlukan wakil rakyat yang betul tetapi juga yang boleh merangka dasar lebih baik, untuk menjadikan Ampang lebih membangun dan lebih banyak kemudahan.

“Juga di peringkat kerajaan persekutuan untuk membawa dasar lebih menyeluruh termasuk dalam isu perumahan, dan saya sebagai exco boleh bawa perkara ini,” katanya kepada pengundi.

Rodziah pernah menjadi exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi (2008 sehingga 2014), Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa

dan Kampung Tradisi (2018 sehingga 2019) dan Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan (2019 sehingga kini).

Selain Rodziah dan Zuraida, calon lain yang turut bertanding adalah calon PN Sasha Lyna Abdul Latif (Bersatu), calon BN Ivone Low Yi Wen (MCA), calon GTA Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong dari Warisan dan tiga calon bebas M Raveen, Tan Hua Meng dan Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos.

Ia menjadikan Ampang sebagai antara kerusi yang direbut paling ramai calon pada PRU kali ini.

Seramai 133,494 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen itu yang akan membuat pilihan mereka pada 19 November ini.