RM5,000 lesap ditipu penyamar

RM5,000 lesap ditipu penyamar

Melaka: Pekerja syarikat swasta kerugian RM5,000 selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai abang angkatnya dengan mendakwa dia diragut dan mahu pertolongan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, dalam kejadian 3 Disember lalu itu, wanita berusia 40 tahun terbabit yang sedang bekerja menerima panggilan daripada nombor telefon tidak dikenali.

“Pemanggil mengaku sebagai abang angkat mangsa. Suspek memberitahu dia diragut serta kehilangan telefon bimbit dan wang tunai.

“Suspek kemudian meminta bantuan wang daripada mangsa dan berjanji akan membayar semula pada 6 Disember,” katanya.

Beliau berkata, tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan wang tunai berjumlah RM5,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

Menurutnya, pada 6 Disember mangsa menghubungi abang angkatnya namun lelaki itu menafikan pernah meminta wang daripada wanita terbabit.

“Menyedari ditipu mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru pada 6 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang diterima terutama daripada nombor tidak dikenali,” katanya.

Katanya, orang ramai disarankan supaya membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun yang diragui di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi ‘Semak MULE’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/650640/rm5000-lesap-ditipu-penyamar