Risiko kejang haba jika lama terdedah cuaca panas

Risiko kejang haba jika lama terdedah cuaca panas

KUALA LUMPUR: Pendedahan kepada matahari pada suhu melebihi 32 darjah Celsius secara berterusan untuk jangkamasa panjang boleh menyebabkan seseorang diserang keletihan dan kekejangan haba.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata pada ketika ini suhu di ibu negara mencecah hingga 35 darjah Celsius.

Pendedahan berterusan kepada matahari pada waktu ini terutama pada waktu tengahari dan petang disamping kekurangan hidrasi boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada seseorang.

“Bagi mengelakkannya, pastikan kerap minum air kosong atau mineral sekurang-kurangnya lapan ke 10 gelas setiap hari. Ambil hirupan kecil tetapi kerap.

“Selain daripada itu, elakkan minuman bergula dan beralkohol kerana ia akan menyebabkan dehidrasi.

“Sentiasa peka dengan simptom kekurangan hidrasi termasuk sakit kepala, mulut, bibir dan mata kering, kekejangan, rasa letih serta pening atau keliru,”

Beliau berkata, bagi mengekalkan kesihatan sepanjang musim panas ini, orang ramai disarankan untuk melakukan aktiviti yang tidak membabitkan pendedahan kepada matahari secara terus bagi jangkamasa panjang terutama pada waktu pagi atau lewat petang.

“Bagi mereka yang bekerja di luar, selain cukup hidrasi, pastikan mengenakan pelindung matahari bagi menghalang kulit daripada sinar ultra ungu matahari (UV) yang boleh menyebabkan risiko dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata kesan cuaca panas kini boleh turut memberi impak kepada kesihatan kanak-kanak.

Justeru katanya, penting untuk ibu bapa memastikan anak-anak kekal berada di dalam rumah sepanjang suhu panas dialami kini.

“Memandangkan musim persekolahan sudah bermula, ibu bapa perlu memastikan anak-anak membawa bekalan air yang mencukupi bagi mengekalkan hidrasi mereka.

“Kesan kekejangan otot serta tidak keruan disebabkan gelombang haba ini boleh turut berlaku kepada kanak-kanak terutama apabila mereka aktif bermain ke sana-sini dalam musim panas ini,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Sharifa Ezra turut menyarankan peminum kafein mengurangkan pengambilannya semasa musim panas kerana ia akan menyebabkan seseorang dahaga dengan lebih cepat.

Katanya, dalam cuaca panas, badan akan menghasilkan peluh dengan lebih banyak bagi menghilangkan haba justeru pengambilan air kosong perlu dilebihkan.

“Selain daripada itu, minum jus tanpa gula. Air kelapa juga baik kerana mengandungi banyak garam dan protein yang baik untuk tubuh badan.

“Bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan tertentu, dapatkan nasihat doktor memandangkan ada ubatan tertentu yang tidak digalakkan untuk diambil pada cuaca panas begini,” katanya.

INFO – Kesan cuaca panas

• 32 darjah Celsius hingga 40 darjah Celcius (menyebabkan kekejangan haba dan keletihan haba)

• 40 darjah Celsius hingga 54 darjah Celcius (menyebabkan keletihan haba)

• Melebihi 54 darjah Celsius (strok haba)

Apa perlu dilakukan dalam cuaca panas:

• Pastikan hidrasi dikekalkan dengan meminum 1.5 liter hingga 2 liter air sehari

• Tingkatkan pengambilan air bagi mereka yang banyak bekerja di luar contohnya, penghantar makanan atau rider, pekerja pembinaan, anggota keselamatan

• Pasang ‘tinted’ di tingkap rumah bagi mengelakkan cahaya matahari masuk secara terus.

• Gunakan pendingin hawa dan kipas bagi menyejukkan suhu panas

• Elakkan pendedahan kepada matahari secara berterusan untuk jangkamasa panjang

• Kenakan pakaian bersesuaian seperti baju kain kapas yang tidak terlalu tebal serta menyerap peluh

Berita Penuh: BH