“Rezeki tak salah alamat…” Penjual bunga di tanah perkuburan raih rezeki lumayan

“Rezeki tak salah alamat…” Penjual bunga di tanah perkuburan raih rezeki lumayan

“Rezeki tak salah alamat…” Penjual bunga di tanah perkuburan raih rezeki lumayan.

Perayaan Aidilfitri yang disambut semalam turut memberi rezeki lumayan kepada penjual bunga di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini.

"Rezeki tak salah alamat..." Penjual bunga di tanah perkuburan raih rezeki lumayan

Mengikut kelazimannya, Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak akan menjadi tumpuan waris, khususnya mereka yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri dengan menziarahi kubur keluarga tersayang, namun perkara itu terhenti dua tahun ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), penjual bunga, Rosinah Md Hassan, 46, lega kerana perniagaan bunga di Tanah Perkuburan Islam ini dapat beroperasi kembali.

Menurutnya, permintaan terhadap bunga segar biasanya lebih tinggi pada musim perayaan, sekali gus memberi peluang kepada peniaga sambilan sepertinya mengaut sedikit keuntungan untuk persiapan menyambut Syawal.

“Gerai jual bunga ini telah diwariskan kepada empat generasi dan setiap kali Ramadan, kami sekeluarga akan berniaga di sini untuk mencari sedikit keuntungan, selain memudahkan pengunjung yang mencari barangan berkenaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Rosinah berkata, Ramadan dianggap bulan rezeki buat peniaga dan beliau cukup bersyukur dengan rezeki yang diterima untuk membantu menambah pendapatan bagi menyambut Syawal.

Katanya, beliau akan dibantu suami, adik dan anak untuk menguruskan perniagaan bunga yang mula beroperasi seminggu sebelum Aidilfitri dan sehingga hari raya ketiga.

“Setiap tahun, saya terpaksa mengambil cuti selama seminggu sebagai petugas di Hospital Pulau Pinang bagi menjalankan perniagaan yang bermula 7.30 pagi hingga 7 malam dan dua hari menjelang hari raya, kami akan berniaga selama 24 jam sehingga pagi raya.”

Katanya, antara jenis bunga yang dijual dan mendapat permintaan tinggi ialah ros, melor, rampai dan bunga segar tangkai, selain bunga hancur yang dicampurkan pada harga RM5 hingga RM10 satu plastik, manakala air cendana dan mawar pula RM5 sebotol.

“Orang ramai biasanya menziarahi tanah perkuburan sejak awal puasa hinggalah hari ketiga raya,” katanya.

Seorang pengunjung, Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza, 75, berkata kehadiran penjual bunga di kawasan perkuburan ini memudahkan pengunjung yang datang menziarah pusara ahli keluarga mereka.

“Pengunjung tidak perlu bersusah payah mencari bunga kerana ia boleh dibeli dengan harga murah di depan pintu masuk ke kuburan ini.”

Tinjauan Bernama mendapati selain membersihkan persekitaran perkuburan dan mengecat batu nisan, ahli keluarga juga akan menaburkan bunga di pusara, termasuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran, mendoakan si mati agar beroleh kesejahteraan.