Reman 3 lelaki Thailand tembak anggota PGA disambung

Kangar: Reman ke atas tiga lelaki Thailand yang terbabit dalam serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailad dekat Padang Besar pada 24 November lalu, disambung tujuh hari lagi.
Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Siti Nor Hasliza Md Ali selepas mendapat permohonan polis bagi meneruskan siasatan.
Terdahulu, tiga suspek berusia antara 34 hingga 38 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah di sini, pada jam 9 pagi.
Susulan lanjutan reman, semua suspek dibawa kembali ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, tempoh reman 15 lagi suspek warga tempatan akan tamat esok.
Difahamkan, siasatan ke atas mereka dilakukan berperingkat dan reman masing-masing berkemungkinan disambung.
Dalam serangan pada jam 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli meninggal dunia selepas terkena tembakan, manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, parah dan masih dirawat di hospital.
Sehingga kini, seramai 22 individu termasuk empat warga Thailand ditahan susulan kes itu.