Remaja putus 3 jari, gegendang telinga pecah akibat mercun bola di Bachok

Remaja putus 3 jari, gegendang telinga pecah akibat mercun bola di Bachok

Remaja putus 3 jari, gegendang telinga pecah akibat mercun bola di Bachok.

Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun putus tiga jari tangan kanan, selepas terkena mercun bola di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketika kejadian, mangsa yang sedang bermain mercun bola di belakang rumahnya tidak sempat membaling mercun tersebut menyebabkan ia meletup di tangan kanannya.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar di Tawang pada 4.45 petang semalam oleh keluarganya untuk menerima rawatan awal kerana tahap kecederaan mangsa serius di bahagian tangan kanan akibat bahan letupan itu, selain terdapat kesan luka di leher akibat percikan bahan bakar yang berada di tahap satu.

“Keadaan mangsa ketika ini stabil selepas menjalani pembedahan membuang ibu jari, jari telunjuk dan tengah di Hospital Universiti Sains Malaysia Kota Bharu, manakala gegendang telinga mangsa juga pecah dan dirujuk pakar di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Susulan kejadian itu, Ismail berkata, satu pasukan pemantau melibatkan dua pegawai dan lapan anggota ditubuhkan untuk membuat pemantauan bagi mengesan aktiviti bermain mercun di sekitar jajahan Bachok.

“Saya ingin beri amaran kepada masyarakat supaya sentiasa cakna dan menjaga keselamatan diri supaya tidak sesekali bermain mercun yang boleh mengundang bahaya kepada diri dan orang di sekeliling.”