Redah arus selamatkan suami

Redah arus selamatkan suami

Chukai: Suri rumah meredah arus deras dan mengharungi air untuk menyelamatkan suaminya yang lumpuh selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam kira-kira 1.8 meter untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS), Isnin lalu.

Siti Aisyah Abdullah, 57, dari Kampung Seberang Tayor, di sini, menolak kerusi roda suaminya, Othman Ngah, 80, dan terpaksa meredah arus deras sejauh kira-kira 150 meter selepas kawasan kediamannya dinaiki air, jam 5.15 petang.

Paras air naik secara mendadak selepas hujan lebih satu jam, saya terpaksa memangku suami yang ketika itu berada di katil menaiki kerusi roda.

“Ketika itu, fikiran saya hanya mahu menyelamatkan suami yang lumpuh sejak 15 tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada program pengagihan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah, di sini, hari ini.

Bantuan wang tunai sebanyak RM300 kepada mangsa disampaikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman.

Siti Aisyah berkata, walaupun ketika itu arus deras, tetapi dia kuatkan kudrat menolak kerusi roda suaminya untuk ke tempat lebih selamat.

“Dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kami menaiki kenderaan dan dihantar ke PPS di Dewan Sivik Felda Kampung Seberang Tayor, ” katanya. Sementara itu, Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sebanyak RM120,600 diperuntukkan untuk bantuan kepada 402 mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Air Putih.

“Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa bencana banjir dan ditempatkan di beberapa PPS menerima bantuan wang tunai berjumlah RM300,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/650270/redah-arus-selamatkan-suami