RCI jalan terbaik elak rahsia negara terdedah

RCI jalan terbaik elak rahsia negara terdedah

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat kepincangan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah jalan terbaik untuk membongkar skandal itu.

Antara faktor utama RCI menjadi pilihan ialah kerana fungsi suruhanjaya itu sendiri yang boleh menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan berwibawa tanpa mengira siapa yang terlibat dalam projek yang merugikan aset ketenteraan negara itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, penubuhan RCI itu juga dijamin dapat menjaga rahsia negara terutamanya dalam aspek aset ketenteraan yang umum tahu ia perkara sulit untuk didedahkan secara umum.

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan perlu melibatkan pakar-pakar yang bertauliah dan berintegriti untuk mengendalikan RCI projek LCS bagi memastikan setiap aspek dan kepincangan dirungkai dengan baik untuk mencari siapa dalang disebaliknya.

“Jalan terbaik ialah RCI kerana ia melibatkan perkara-perkara penting seperti aset ketenteraan yang perlu dijaga privasinya. Apa yang penting ialah kerajaan perlu libatkan pakar-pakar yang berintegriti dalam mengendalikan RCI bagi mengelak aspek kepentingan.

“Pakar-pakar daripada TLDM sendiri juga perlu dilibatkan kerana lebih tahu tentang kapal berkenaan dan aset ketenteraan yang lain. Kita semua juga mahu perkara ini diselesaikan segera dan mengelak kerajaan menanggung kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan termasuk daripada wakil parti politik dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu RCI ditubuhkan bagi menyiasat mengenai projek LCS secara menyeluruh.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan kertas siasatan mengenai projek perolehan LCS milik TLDM itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurut SPRM, kertas siasatan berkenaan telah pun dilengkapkan dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu dan seterusnya suruhanjaya itu akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian AGC terhadap kertas siasatan itu.

Dalam pada itu, nada berbeza disuarakan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang berpendapat RCI tidak sesuai ditubuhkan bagi kes yang melibatkan jenayah dan bagi projek LCS, adalah lebih baik siasatan dilakukan SPRM sebelum pertuduhan dibuat peguam negara.

“Bagi saya tidak sesuai, kita biarkan SPRM lakukan siasatan secara terperinci dahulu tentang kes ini dan hasil siasatan serahkan kepada Peguam Negara untuk pendakwaan. RCI ini lebih sesuai ditubuhkan selepas kes selesai untuk proses penambahbaikan,” katanya.