Rakyat mengamuk, tapi Muhyiddin takut berundur. Ini sebabnya

Rakyat mengamuk, tapi Muhyiddin takut berundur. Ini sebabnya

“Saya difahamkan, beberapa ahli parlimen dari PPBM sudah mula sedar Perikatan Nasional dan Barisan Nasional akan ditolak rakyat di Pilihan Raya Umum ke-15 dan kini bersedia untuk berbincang dengan pihak lain, termasuk blok kuasa ketiga.

Malah, Muhyiddin sendiri sudah sedar betapa seriusnya tahap kemarahan rakyat terhadap kerajaan dan tahu ekonomi negara kini berada di ambang kehancuran. Muhyiddin turut tahu kerajaan akan tumbang sebaik sahaja Darurat ditamatkan.

Tetapi beliau takut untuk berundur kerana…”

Tindakan kerajaan memilih pihak mana yang perlu disiasat dan pihak yang harus ‘dilindungi’ menyebabkan para pelabur tidak lagi percaya kepada kemampuan kerajaan gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional untuk menjamin keselamatan dana pelaburan dan meningkatkan daya saing ekonomi negara.

Biarpun seorang yang pernah bergelar Ketua Polis Negara mendedahkan kepincangan serius dalam pucuk pimpinan kerajaan, tidak ada sebarang tindakan susulan diambil oleh pihak kerajaan mahupun pihak berkuasa.

Sebaliknya, pemimpin blok kerajaan sedang cuba sedaya upaya mengalihkan perhatian umum daripada pendedahan Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan mempersoalkan hak beliau membuat pendedahan itu dan mendesak agar siasatan dilakukan terhadapnya.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah pula membuat kenyataan demi kenyataan yang tidak masuk akal sambil memperbodohkan raykat dengan dakwaan kononnya pendedahan Hamid Bador merupakan isu dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Gila tak gila?

SPRM melindungi pemimpin kerajaan

Percayalah, satu dunia ingin tahu apa yang bakal dilakukan oleh SPRM, yang sememangnya wajib menyiasat mana-mana unsur salah guna kedudukan atau rasuah melibatkan mana-mana individu, agensi atau syarikat, biarpun ianya melibatkan pemimpin kerajaan atau syarikat dan agensi berkait kerajaan.

Hamid Bador bukanlah orang pertama yang mendedahkan kewujudan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan blok kerajaan.

Sebaliknya, kewujudan salah guna kuasa dan rasuah ini sudah lama diakui oleh beberapa pemimpin politik, termasuk Datuk Seri Shafie Apdal, yang mendakwa wang berbilion ringgit ditawarkan kepada wakil rakyat dari Sabah agar mereka menyertai blok kerajaan.

Kenapakah SPRM mengenepikan semua dakwaan ini?

Cuba cerita, pelabur mana yang akan percaya kepada kerajaan yang menolak sebarang bentuk usaha untuk menentukan keabsahannya dan mengenepikan segala dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan menteri-menteri kerajaan?

Pelanggaran SOP

Terdapat berpuluh-puluh gambar dan video di media sosial yang menunjukkan dengan jelas pelanggaran SOP melibatkan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan ahli-ahli parlimen blok kerajaan, samada di Sabah ketika kempen Pilihan Raya Negeri atau selepas Pilihan Raya tersebut berakhir.

Tetapi adakah tindakan diambil terhadap ahli-ahli parlimen ini?

Tidak.

Sebaliknya, menteri-menteri dan ahli-ahli parlimen yang sama mengugut untuk menghukum rakyat yang melanggar SOP, seolah-olah rakyat sahaja yang bertanggungjawab mencetuskan gelombang kedua dan ketiga Covid-19, bukannya kerajaan.

Apakah rakyat tidak marah bila diperlakukan begini? Satu Malaysia tahu gelombang kedua Covid-19 dicetuskan oleh Pilihan Raya Negeri Sabah, dan satu Malaysia tahu penularan Covid-19 tidak pernah reda selepas Pilihan Raya itu.

Tetapi adakah Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan ahli-ahli parlimen lain dihukum atau dimasukkan ke dalam “penjara khas” kerana melanggar SOP?

Tidak.

Adakah kerajaan memohon maaf dan mengaku peranannya sebagai pencetus gelombang pandemik yang terburuk di tanah air hingga memudaratkan ratusan ribu warganegara yang sedia terhimpit dengan PKP 2.0 dan Darurat?

Tidak.

Jadi bagaimanakah kerajaan boleh harapkan rakyat bersabar atau tidak marah apabila PKP 3.0 diumumkan? Bagaimanakah kerajaan boleh menyalahkan para peniaga yang mengamuk kerana tidak dibenarkan berniaga di bulan Ramadan?

Peniaga mengamuk, rakyat marah

Kita sudah lihat betapa disiplinya rakyat Malaysia ketika PKP 1.0 dilaksanakan. Kita sedia maklum bahawa masyarakat kita tidak sekali-kali akan mengingkari perintah kerajaan dan bersedia untuk berkorban demi kebaikan bersama.

Jadi isunya bukanlah keengganan rakyat mematuhi PKP dan SOP, tetapi ketidakpercayaan rakyat terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus menerus menghukum dan mengkambing hitamkan rakyat.

Bayangkan, Muhyiddin memberi jaminan untuk tidak melaksanakan PKP menyeluruh. Tetapi bukan hanya PKP dilaksanakan di banyak daerah, daerah-daerah ini merangkumi hampir kesemua kawasan utama yang diklasifikasikan sebagai penjana utama ekonomi negara.

Kemudian, tidak sampai tiga hari selepas PKP bersasar diumumkan, Muhyiddin tiba-tiba mengumumkan perlaksanaan PKP menyeluruh bagi tempoh hampir sebulan tanpa memberi sebarang petanda awal kepada para peniaga.

Siapa tak marah?

Siapa tak marah melihat pemimpin-pemimpin kerajaan memakan gaji puluhan ribu ringgit sebulan sambil berpolitik tak tentu hala dan mengorek tabung sana sini di sebalik tabir Darurat tatkala rakyat menderita?

Muhyiddin takut berundur

Malaysia sudah berada di ambang kehancuran, dan tidak ramai pelabur yang sudi berurusan dengan syarikat-syarikat berkait kerajaan kerana tidak yakin dengan kemampuan kerajaan untuk berlaku adil dan memulihkan ekonomi negara.

Para pelabur sudah pasti akan curiga terhadap kemampuan ahli-ahli parlimen blok kerajaan mentadbir urus syarikat-syarikat berkait kerajaan dengan bersih, cekap dan amanah serta kemampuan SPRM memerangi gejala salah guna kuasa dan rasuah.

Saya difahamkan, beberapa ahli parlimen dari PPBM sudah mula sedar Perikatan Nasional dan Barisan Nasional akan ditolak rakyat di Pilihan Raya Umum ke-15 dan kini bersedia untuk berbincang dengan pihak lain, termasuk blok kuasa ketiga.

Malah, Muhyiddin sendiri sudah sedar betapa seriusnya tahap kemarahan rakyat terhadap kerajaan dan tahu ekonomi negara kini berada di ambang kehancuran. Muhyiddin turut tahu kerajaan akan tumbang sebaik sahaja Darurat ditamatkan.

Masalahnya, beliau takut untuk berundur atau memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan baharu kerana khuatir menteri-menteri dari kerajaan itu akan cuba mendedahkan segala bentuk salah guna kuasa dan rasuah melibatkan menteri-menteri Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

Sumber : TTF 

COMMENTS