Rakyat Malaysia didakwa subahat ubah wang haram RM6.91 juta di Singapura

Rakyat Malaysia didakwa subahat ubah wang haram RM6.91 juta di Singapura

Seorang pengarah syarikat warga Malaysia dan empat yang lain didakwa di mahkamah di Singapura hari ini kerana bersubahat mengubah wang haram berjumlah SGD2.24 juta (RM6.91 juta) menerusi syarikat tersedia.

Tan Hock Keat, 34, didakwa mendapatkan arahan daripada seorang lelaki yang tidak dikenal pasti identitinya untuk membuka akaun bank korporat di bawah enam syarikat tersedia, lapor akhbar Singapura, The Straits Times.

Tan adalah bekas pengarah syarikat berpangkalan di Singapura, DM Advisory, yang menyediakan perkhidmatan setiausaha korporat.

Tan dituduh melantik pegawai bank, rakyat tempatan Phua Wee Hao, 33, untuk merekrut pengarah nomini bagi syarikat tersedia berkenaan.

Syarikat itu adalah Plutusteam, Glidertex, Birseltex Global, Temco Industrial, Integrated Invest dan Modelana Trading.

Menurut laporan, Tan dan Phua didakwa mengatur untuk meraih manfaat daripada perlakuan jenayah mengikut Akta Korupsi, Pengedaran Dadah dan Jenayah Serius Lain.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga SGD500,000 atau kedua-duanya sekali.

Pengarah nomini Singapura terbabit, Wong Zhang Jie, 32; Wong Poh Kiong, 47; dan Low Ruey Ming, 32, menghadapi tuduhan gagal bertindak dengan jujur atau melakukan usaha wajar sebagai pengarah syarikat.

Jabatan hal ehwal komersial polis republik itu berkata telah menerima lapan laporan daripada mangsa yang didakwa diperdayakan untuk memindahkan kira-kira USD1.67 juta ke dalam akaun bank syarikat tersedia antara 2016 hingga 2019.

Polis juga berkata ada cubaan untuk memindahkan kira-kira HKD3.24 juta (RM1.72 juta) ke akaun bank Jiangsu Chengde Steel Tube Share, syarikat China yang menghasilkan tiub keluli.

Bagaimanapun, akaun bank berkenaan ditutup menyebabkan pemindahan wang itu tidak dapat disempurnakan. | FMT