Raja Muda Kedah dukacita kejadian di Baling, tak sampai setahun tragedi kepala air di Yan

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dukacita kerana tragedi banjir dan fenomena kepala air berlaku di Baling merupakan kali kedua berlaku tidak sampai setahun kejadian serupa di Yan, pada 18 Ogos tahun lalu.
“Masa itu dapat berita menerusi (aplikasi) WhatsApp (mengenai) semua kejadian ini berlaku. Beta berasa terkejutlah dan sedih sebab bencana ini berlaku lagi, ini bukan kali pertama. Sebelum ini (kali pertama) berlaku di Yan. Jadi, (Beta) sedih ia berlaku dekat penduduk kampung,” titah baginda menurut Bernama selepas mencemar duli ke Kampung Iboi, Baling.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mencemar duli berangkat ke Kampung Iboi, Baling, meninjau kejadian banjir dan fenomena kepala air.
Turut berangkat Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda baginda iaitu Tunku Zara Bahiyah dan Tunku Sulaiman Badlishah.
Pada Isnin, tiga penduduk Kampung Iboi terkorban dan ditemukan meninggal dunia selepas dihanyutkan aliran air deras akibat kepala air dari Gunung Inas.
Kejadian itu tidak sampai setahun selepas tragedi sama berlaku di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lalu, mengorbankan enam penduduk.
Tengku Sarafudin Badlishah turut menasihati penduduk yang tinggal di tepi sungai dan gunung serta kawasan berisiko tinggi agar berpindah dengan serta-merta sekiranya terdapat amaran awal kejadian banjir dan hakisan tanah di kawasan kediaman mereka.
Terdahulu, baginda berkenan mendengar taklimat di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan seterusnya berangkat meninjau lokasi kejadian jambatan runtuh di Kampung Iboi serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga terjejas.
Semasa di lokasi kejadian jambatan runtuh itu, baginda turut berkenan berangkat menyeberangi sungai menggunakan jambatan Bailey yang baru disiapkan hari ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota tentera sebagai jambatan sementara untuk memudahkan pergerakan penduduk.
Tuanku berdua bersama kedua-dua anakanda baginda turut berkenan mencemar duli membersihkan pekarangan Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang yang turut terjejas teruk akibat bencana itu.