Rafizi dakwa Najib berkuasa, pengaruh keputusan tukar reka bentuk LCS

Rafizi dakwa Najib berkuasa, pengaruh keputusan tukar reka bentuk LCS

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa mempengaruhi keputusan pertukaran reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) yang asalnya sudah dipilih oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, dakwaan itu menerusi dokumen-dokumen dalaman syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn. Bhd. yang ‘dibocorkan’ kepadanya.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

Katanya, dokumen itu menjelaskan mengenai sebut harga daripada sub-kontraktor dari Perancis, DCNS (dikenali sebagai France’s Naval Group), yang terlibat dalam pembinaan dan perbekalan kapal selam.

Najib pula dikaitkan mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS kerana pernah berurusan untuk pembelian kapal selam Scorpene sebelum ini.

“Melihat keputusan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) ketika itu yang menukar keputusannya dari memilih SIGMA kepada GOWIND juga membayangkan ada campur tangan pihak yang lebih atas dari beliau sendiri.

“Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa Najib tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini.

“Beliau lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan ketika itu untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor DCNS, dipilih,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Rafizi bagaimanapun tidak berkongsi gambar-gambar dokumen, namun memberikan nombor rujukan, sebut harga beserta tarikh.

Sebut harga, nombor rujukan dan tarikh adalah seperti berikut:

Sebutharga dari DCNS bernombor 10/DCI/ASI/0097 kepada BNS bertarikh 23 Disember 2010
Sebutharga dari DCNS bernombor 11/DCI/ASI/0029 bertarikh 4 April 2011
Surat Niat (Letter of Intent) dari DCNS bernombor BNS/SGPV/LOI/1011 bertarikh 21 Oktober 2011
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, surat lantikan daripada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertahanan untuk melantik BNS sebagai kontraktor utama projek LCS hanya dikeluarkan pada 16 Disember 2011.

Justeru, katanya, DCNS bukan sahaja mendapat maklumat sepenuhnya mengenai rundingan pembinaan kapal LCS, malah, telah pun menghantar sebut harga dan diberikan surat niat lebih awal sebelum BNS dilantik menjadi kontraktor utama.

“Saya menunggu bagaimana Najib akan menjawab persoalan-persoalan ini. Saya juga akan terus mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku sehingga menyebabkan tiada satu kapal pun siap setakat ini,” katanya.

Dalam laporan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bertarikh 1 Disember 2020, Timbalan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan, Guna Arulalan David berkata, TLDM tidak bersetuju dengan cadangan menukar reka bentuk LCS, namun, terpaksa menerimanya kerana keputusan dibuat oleh menteri dan Kementerian Pertahanan.

Guna Arulalan memaklumkan, pada 26 Mei 2011, Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Pertahanan ketika itu bersetuju dengan cadangan TLDM untuk reka bentuk SIGMA daripada Belanda.

Namun, pada 11 Julai 2011, Ahmad Zahid dan pihak pengurusan Kementerian Pertahanan bersetuju memilih reka bentuk GOWIND daripada Perancis manakala pada 26 September 2011, beliau bersetuju mengubah reka bentuk kepada SETIS daripada Perancis atas syor BNS.

Bagaimanapun, dalam prosiding berlainan, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak terlibat secara langsung penukaran reka bentuk LCS kerana ia adalah tanggungjawab syarikat BNS dan DCNS.

Katanya, ini kerana menteri dan pihak pengurusan atasan kementerian tidak mempunyai latar belakang belakang seni bina berkaitan tentera laut.

Rafizi semalam dilaporkan akan mendedahkan satu demi satu skandal penyelewengan projek LCS bernilai RM9 bilion dalam tempoh sebulan menuju Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

PAC baru-baru ini mendedahkan, tiada satu pun LCS TLDM disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada BNS secara rundingan terus.

Rafizi dakwa Najib berkuasa, pengaruh keputusan tukar reka bentuk LCS