Pukul isteri kerana halang jumpa anak ketika kuarantin, penganggur ditahan

Pukul isteri kerana halang jumpa anak ketika kuarantin, penganggur ditahan

Seorang penganggur yang sedang menjalani kuarantin di rumah, memukul isterinya kerana dihalang berjumpa anaknya di Taman Kosas Ampang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian 4 petang 8 Okt lalu, lelaki berusia 35 tahun itu memarahi isterinya yang berusia 31 tahun, sebelum memukul dengan tangan, kayu dan mengacu garpu kerana tidak dapat berjumpa empat anaknya yang dihantar ke rumah keluarga isteri di Cheras.

“Suspek marah tidak dapat berjumpa dengan anak-anak pengadu (isteri) kerana pengadu bimbang (anak-anak) akan dijangkiti Covid-19. Suspek menjalani kuarantin di rumah.

“Suspek warga tempatan yang tidak bekerja itu telah berkahwin lapan tahun dan mempunyai empat anak terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berumur dalam lingkungan lapan bulan hingga tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tidak cukup menggunakan kekerasan, lelaki terbabit menghalau isterinya keluar dari rumah.

“Pengadu luka di bahagian bawah lengan kiri dan telah mendapat rawatan di hospital HUKM.

“Suspek direman empat hari bermula 12 Okt hingga 15 Okt dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu mencederakan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau denda atau disebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Katanya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu menybabkan kecederaan ke atas pasangan suami atau isteri sah, yang boleh dihukum penjara dua kali ganda daripada hukuman di atas.

“Bagi kesalahan penyalahgunaan dadah, suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu memasukkan dadah dalam badan, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.”

Sumber | FMT

COMMENTS