Pukul 2 pagi terserempak perempuan berpakaian putih, rambut panjang, kendong sesuatu…

Pukul 2 pagi terserempak perempuan berpakaian putih, rambut panjang, kendong sesuatu…

AKU NI kadangkala memang suka tulis cerita hantu, tapi tak bermakna aku taksub dengan hantu. Sebenarnya aku paling sukar untuk menerima kehadiran hantu, aku selalu nafikan kewujudannya. Seboleh-bolehnya aku akan nafikan penampakannya dengan logik atau sains yang boleh diterima pakai ataupun aku akan siasat habis-habis untuk pastikan betul atau tidak penampakan itu adalah hantu.

Pernah suatu ketika aku pulang ke rumah sekitar pukul 2 pagi, aku melalui kawasan ladang sawit untuk menuju pulang ke rumah. Di pertengahan jalan aku ternampak seorang wanita berjalan di bahu jalan sambil mengendong sesuatu. Berpakaian putih dan rambut melepasi bahu.

Aku memandu melepasinya, dia pula tak menahan atau menolehkan mukanya ke arah aku. Selepas beberapa ratus meter, timbul rasa tidak puas hati dalam diri aku. Fikiran aku berbelah bahagi mengatakan manusia atau hantu.

Ternyata, wanita itu masih lagi berjalan di bahu jalan tetapi kali ni melangkah di arah yang sama di mana aku sedang memandu berbanding sebelum itu di bahu jalan ke arah pulang ke rumah aku. Dia masih berjalan dan tidak memalingkan wajahnya padaku. Jadi aku perlahankan kereta dan menghampirinya yang berjalan seiring dengannya.

Aku amati dia dari atas dan bawah, cuma aku masih pelik kenapa dia tidak mahu memandang aku sedangkan aku memandu perlahan mengiringinya. Aku lihat dia berjalan seperti manusia juga, cuma tak nampak la kakinya disebabkan pakaiannya menutupi kaki. Saja aku tekan minyak supaya menderam bunyi enjin kereta dan berharap dia memandang aku. Tapi masih lagi tiada respon. Aku lihat pula di tangannya seperti bungkusan kain putih, tak pasti apa yang dikendongnya. Gaya kendongannya seperti memangku bayi.

Aku rasa sudah hampir lima minit aku mengiringinya, tiada apa-apa tindak balas. Jam di dashboard pula sudah hampir pukul 3 pagi, pelik pula apa perempuan ni buat di tengah ladang sawit. Aku pandang belakang dan depan tiada satu kenderaan yang menggunakan jalan raya ini. Penat berfikir malah wanita tu pun sombong, tidak memberikan tindak balas, maka aku berpatah balik dan terus memecut kereta meninggalkan wanita berpakaian putih itu di tengah ladang sawit sambil berkata di dalam hati.

“Perempuan Gila agaknya!”

COMMENTS