Projek LCS gagal, menteri jangan lepas tangan, kata kumpulan veteran

Projek LCS gagal, menteri jangan lepas tangan, kata kumpulan veteran. Kumpulan veteran tentera menyifatkan kehilangan RM6 bilion bagi projek kapal tempur pesisir (LCS) contoh jelas berlakunya penyelewengan, salah tadbir dan rasuah yang didakwa secara meluas di peringkat kementerian.
Sambil mendesak perdana menteri bertindak “segera dan menghentikan kerosakan” menerusi kepimpinan, kumpulan berkenaan ingin mengetahui sama menteri pertahanan ketika itu boleh dilepaskan daripada bertanggungjawab terhadap kegagalan projek itu.
Adakah menteri pertahanan berseorangan berhubung projek LCS atau adakah tiada sesiapa pun yang mengambil tanggungjawab untuk memberi taklimat secukupnya kepada menteri, kata brigadier jeneral bersara, Arshad Raji, yang juga presiden Persatuan Patriot Kebangsaaan.
Menteri pertahanan ketika itu adakah Ahmad Zahid Hamidi.
Arshad berkata dalam surat terbukanya kepada perdana menteri: “Kepimpinan dalam apa jua bentuk kelayakan sejagat bermaksud ketua perlu mengambil tanggungjawab penuh. Titik.”
Katanya, sejumlah RM6 bilion dibayar tanpa ada sebuah kapal siap dan diserahkan, merupakan “kecurian tahap tertinggi”.
“Sangat membingungkan untuk memahami bagaimana sejumlah besar wang dibayar oleh kementerian kewangan tanpa melakukan pemeriksaan fizikal memastikan wang berkenaan dibelanjakan dengan betul,” katanya.
Arshad memuji bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar, kerana berani bersuara terhadap kementerian pertahanan dan kontraktor, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd kerana mengenepikan pandangan profesional berhubung projek LCS.
Beliau juga menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak segera terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, berkata 400 vendor yang 90% terdiri veteran tentera dijangka “gulung tikar” jika projek LCS dibatalkan kerajaan.
Katanya, gesaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim supaya kerajaan menghentikan projek LCS fasa enam yang ketika ini belum dimulakan hanya bermotif politik.
Beliau berkata, ini kerana kenyataan Anwar itu bercanggah keputusan dibuat Pakatan Harapan (PH) ketika mereka memerintah selama 22 bulan.
Katanya, ketika itu PH memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan LCS bagi mengukuhkan keupayaan operasi tentera laut.