Portfolio Exco Perak dirombak

Portfolio Exco Perak dirombak

IPOH – Terdapat pindaan dan perubahan beberapa portfolio melibatkan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baharu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, portfolio baharu itu akan diketahui selewat-lewatnya dalam mesyuarat mingguan exco pada Rabu depan.

“Bagi pembahagian portfolio ini, kita akan lihat dahulu. Pertamanya ada pertukaran seorang Exco baharu iaitu Datuk Zainol Fadzi dan kedua, saya kena lihat balik tentang kesesuaian.

“Saya perlu melihat tentang kesesuaian bagi setiap individu yang dilantik dan juga perlu bersesuaian dengan perancangan pembangunan kerajaan.

“Jadi, sudah tentu ada sedikit pindaan dan tambahan pada portfolio itu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat angkat sumpah jawatan di Istana Kinta di sini hari ini.

Terdahulu, lima Exco di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dikekalkan dalam barisan kepemimpinan kerajaan negeri Perak yang baharu.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamaruddin.

Turut kekal sebagai Exco kerajaan negeri ialah Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) dan Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) dari Bersatu selain Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering) dari UMNO.

Majlis mengangkat sumpah jawatan tersebut dilakukan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini.

Pada 10 Disember lalu, empat ADUN daripada UMNO telah mengangkat sumpah dalam istiadat yang dijalankan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar melibatkan Datuk Mohd. Zolkafly Harun (Lintang), Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr. Wan Norashikin (Kampong Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Seorang lagi Exco yang dilantik ialah ADUN Sungai Manik dari Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang merupakan muka baharu.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2020/12/15/portfolio-exco-perak-dirombak/