Politik Johor semakin panas, DUN Johor mungkin bubar

Politik Johor semakin panas, DUN Johor mungkin bubar

Pemimpin politik Johor menyifatkan khabar angin Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan dalam masa terdekat sebagai spekulasi.

Bagaimanapun pemimpin utama parti Amanah tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan selepas sambutan tahun baru Cina.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai, berkata dia mendapat maklumat bahawa kerajaan negeri sedang bersedia ke arah pembubaran DUN khususnya selepas kematian Adun Kempas, Osman Sapian.

“Politik Johor ini, boleh saya anggap sekarang ini panas. Khabar angin semakin kuat untuk pilihan raya negeri diadakan, ialah semua orang tahu majoriti mereka tinggal satu sahaja selepas Allahyarham Osman Sapian meninggal dunia dan mana mungkin kerajaan dari segi kestabilan boleh hidup dengan hanya satu majoriti.

“Jadi, saya membaca begitulah, memang banyak info dalaman yang mengatakan semacam telah ada persediaan untuk DUN Johor ini dibubarkan.

‘Minggu depan atau lepas tahun baru Cina’

“Mungkin dalam tempoh terdekat ini (bubar) sebab mereka hanya menangguhkan (pembubaran DUN Johor) kerana takut rakyat menempelak mereka dalam kesibukan atau kesedihan akibat suasana banjir yang berlaku di seluruh negara dan minggu lepas berlaku di Johor,” katanya kepada Malaysiakini.

Salahuddin berkata terdapat khabar angin pembubaran DUN akan berlaku minggu depan atau selepas tahun baru Cina.

Pada 10 Jan lalu, BH melaporkan mengenai kemungkinan DUN Johor akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi membuka ruang kepada pilihan raya negeri Johor diadakan.

Bagaimanapun Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat berpendapat tiada alasan kukuh untuk DUN Johor dibubarkan apalagi ketika rakyat dalam kesusahan akibat wabak Covid-19.

Katanya, BN masih lagi mempunyai kelebihan satu undi dan kerajaan dengan majoriti tipis ini masih berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah.

“BN masih ada kelebihan satu undi. Selama ini pun kerajaan bertahan dengan majoriti yang nipis dan tiada sebarang masalah berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.

Bekas menteri besar Johor yang juga pemimpin Bersatu Sahruddin Jamal menafikan khabar angin mengenai pembubaran DUN akan berlaku dalam tempoh terdekat.

“Tiada tanda DUN Johor akan dibubarkan dan itu hanya spekulasi

“Saya santai saja di DUN ini, buat persiapan selepas banjir di kawasan,” kata Adun Bukit Kepong itu kepada Malaysiakini.

Seorang lagi Adun Bersatu Mazlan Bujang turut menafikan khabar angin pembubaran DUN berlaku dalam masa terdekat.

“Saya tiada maklumat mengenainya,” kata Adun Puteri Wangsa itu ketika dihubungi.

Sementara itu, menurut sumber Umno yang juga pemimpin Umno negeri mendakwa parti itu sememangnya telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri.

Katanya, parti itu sedang menunggu “lampu hijau” untuk pembubaran DUN.

“Umno sememangnya telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri bagi mendapat mandat baru lebih kukuh daripada rakyat.

“Kita yakin akan mendapat sokongan rakyat. Cuma sekarang tengah menunggu ‘lampu hijau’ bagi pembubaran DUN,” katanya kepada Malaysiakini.