Polis tahan Yusuf Azmi dan Abang Ali

Polis tahan Yusuf Azmi dan Abang Ali

Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi merupakan antara enam individu yang ditahan polis berhubung kejadian seorang warga asing dipukul di Taman Alam Jaya, Batu 9, Cheras baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua enam individu itu ditahan susulan penularan satu video berdurasi 1 minit 21 saat yang tular sejak semalam.

“Mereka yang ditahan berusia 24 hingga 54 tahun namun seorang daripada mereka bagaimanapun telah diberikan jamin polis selepas siasatan dilakukan mendapati dia merupakan pemilik premis tempat kejadian.

“Lima lelaki yang masih dalam tahanan telahpun dibawa ke Mahkamah Kajang hari ini bagi permohonan reman dan telah benarkan kelima-lima suspek direman selama sehari,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, turut ditahan bagi membantu siasatan adalah seorang lagi individu yang dikenali sebagai Abang Ali.

Menurut Mohd. Zaid, kes masih lagi di dalam siasatan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini, boleh berhubung dengan balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Mohd. Radzee Jamudi di talian 019-665 5811.

Terdahulu, polis sebelum ini giat mengesan sekumpulan individu yang dirakam memukul seorang lelaki warga asing yang kemudiannya tular di laman media sosial.

Mohd. Zaid sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan dimulakan sebaik rakaman video yang tular itu sampai ke pengetahuan pasukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. – K! ONLINE

COMMENTS