Polis tahan tiga lelaki mengamuk restoran enggan ambil pesanan

Polis menahan tiga lelaki yang disyaki mengamuk kerana keengganan sebuah restoran di Brickfields, di sini mengambil pesanan berikutan tamat tempoh operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada jam 10 malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, akibat tidak puas hati suspek yang berumur antara 27 hingga 35 tahun itu mula membaling kerusi.
“Waktu itu jam sudah lebih 10 malam dan kedai itu tidak mahu menyajikan makanan kerana kedai hendak ditutup operasinya mengikut SOP (prosedur operasi standard) PKP yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri majlis Pelancaran Suntikan Vaksin Covid-19 Polis Kontijen Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Jinjang di sini hari ini.
Menurut Saiful Azly, bertindak atas laporan polis pemilik restoran itu, anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields telah melancarkan operasi memburu suspek-suspek tersebut dan mereka ditahan pada awal pagi tadi.
Tambah beliau, kesemua suspek berasal dari ibu negara dan mereka dalam proses ditahan reman pagi ini untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata, ujarnya.
Saiful Azly berkata, polis juga sedang memburu saki baki meerka yang mengamuk di restoran terbabit. | MG