Polis rampas 12,000 biji pil kuda

Polis rampas 12,000 biji pil kuda

TANAH MERAH: Polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun kerana memiliki 8,000 biji pil kuda yang bernilai RM80,000 di Kampung Bukit Gading, di sini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusoff, berkata tangkapan pada jam 3.15 petang Jumaat lalu itu dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Katanya, anggota polis menghampiri sebuah kereta di tepi jalan dan pemandu terus melempar bungkusan, sebelum cuba melarikan diri.

“Polis menahan suspek dan menemui bungkusan mengandungi 8,000 biji pil kuda,” katanya di sini, hari ini.

Dalam serbuan kedua pada hari yang sama, Zainuddin berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun pada 6.45 petang kerana memiliki 4,000 biji pili kuda bernilai RM40,000 di Jalan Wan Ahmad, di sini.

“Suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap. Polis menemui bungkusan dadah di dalam poket seluar suspek.

“Kedua-dua suspek ini juga didapati postif dadah jenis Methamphetamine dan mereka berdua tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Zainuddin berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, jika disabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dijatuhkan hukuman mati.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/12/764844/polis-rampas-12000-biji-pil-kuda